APPGM-SDG pemacu pembangunan mampan di negeri sempadan Malaysia-Thailand

Iklan
APPGM-SDG mampu menggerakkan pembangunan ekonomi setempat di kawasan sempadan. Gambar hiasan

GARIS sempadan antara Malaysia dan Thailand yang melintasi negeri Perlis, Kedah, dan Kelantan bukan sekadar sempadan geografi – ia adalah nadi ekonomi, sosial dan budaya yang menyatukan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.

Namun begitu, kawasan sempadan seringkali berdepan dengan cabaran pembangunan, ketidakseimbangan wilayah, kemiskinan, kekurangan infrastruktur serta isu keselamatan.

Iklan
Iklan

Dalam konteks ini, pelaksanaan All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) di negeri-negeri sempadan mampu menjadi alat transformasi yang berkesan untuk memperkasakan komuniti setempat secara lestari.

APPGM-SDG merupakan satu inisiatif rentas parti politik yang diterajui oleh Parlimen Malaysia untuk melaksanakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals- SDG) pada peringkat tempatan.

Iklan

Ia memberi penegasan kepada pendekatan “bottom-up” atau akar umbi, iaitu pembangunan yang digerakkan oleh komuniti melalui Rakan Solusi, dengan kerjasama Ahli Parlimen, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, dan pertubuhan masyarakat sivil.

Sehingga kini, APPGM-SDG telah berjaya dilaksanakan di lebih 143 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan pelbagai projek komuniti yang berimpak tinggi.

Iklan

Justeru, negeri-negeri sempadan memiliki potensi besar untuk menjadi medan pelaksanaan APPGM-SDG seterusnya.

Membicara isu kemiskinan dan ketidaksamaan

Sebagai sebuah negara yang komited terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), adalah penting untuk memahami isu ini daripada sudut dasar, tatacara, dan tindakan bersepadu pelbagai agensi.

APPGM-SDG mampu menggerakkan pembangunan ekonomi setempat di kawasan sempadan.

Daerah seperti Padang Besar, Rantau Panjang, dan Bukit Kayu Hitam mempunyai potensi luar biasa daripada segi perdagangan rentas sempadan, pertanian, pelancongan desa dan perusahaan mikro.

Melalui APPGM-SDG, projek ekonomi komuniti seperti pasar agro sempadan, inkubator usahawan wanita, bengkel keusahawanan belia, serta pembentukan koperasi tempatan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih teratur dan disokong melalui geran atau dana mikro.

Ini secara langsung menyumbang kepada pengurangan kemiskinan dan peningkatan taraf hidup penduduk sempadan.

Suara komuniti di peringkat akar umbi

APPGM-SDG juga memberi ruang kepada komuniti untuk menyuarakan keperluan asas mereka yang mungkin terlepas pandang oleh perancang dasar pusat.

Antara isu yang sering dihadapi penduduk sempadan adalah kekurangan akses kepada air bersih, kemudahan kesihatan yang terhad, sekolah daif, kemiskinan pelbagai dimensi serta masalah sosial seperti ketagihan dadah, pengangguran dan jenayah rentas sempadan.

Dengan APPGM-SDG, suara rakyat dapat diterjemah kepada pelan tindakan SDG setempat yang realistik dan inklusif.

Penduduk bukan sahaja menjadi penerima dasar, malah menjadi pelaksana bersama.

Projek di Parlimen Padang Besar misalnya, telah melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi selaras dengan tema pembangunan mampan dan aksi mikro SDG di peringkat akar umbi.

Antara projek tersebut termasuklah:

1. Cendawan daripada lebihan kenaf – Meneroka peluang industri cendawan dengan menggunakan lebihan bahan kenaf sebagai bahan asas, menyokong inovasi, ekonomi mampan, dan pemuliharaan alam.

2. Penanaman Buah Gac oleh OKU – Memberi peluang kepada golongan OKU untuk menyumbang melalui sektor pertanian, dengan sinergi bersama universiti dan industri.

3. Pusat Jariah Kesihatan – Menyediakan peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil dan alat bantuan pernafasan kepada golongan asnaf yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada sokongan sosial.

4. Pengenalan SDG kepada masyarakat – Kempen kesedaran tentang SDG bagi mendorong penyertaan masyarakat sebagai sukarelawan dan memperluas penyebaran nilai pembangunan lestari.

5. Bengkel latihan pertanian – Dilaksanakan di Kampung Belukar Lenga bersama komuniti Siam untuk memperkasa amalan pertanian.

Selain itu, program Bengkel Edutourism Malaysia–Selatan Thai turut diadakan, melibatkan penyelidik, IPT, petani dan CSO dari kedua-dua negara bagi pemindahan teknologi pertanian.

Projek-projek ini mencerminkan semangat APPGM-SDG dalam mendekati pembangunan lestari secara holistik —daripada pertanian, pendidikan, kesejahteraan sosial, hingga ke penglibatan belia.

Ia bukan sahaja menambah baik taraf hidup komuniti malah memperkukuh hubungan rentas sempadan dalam ekosistem yang lebih inklusif.

Membangun komuniti yang berdaya tahan

APPGM-SDG turut memperkukuh keselamatan dan ketahanan komuniti di kawasan sempadan.

Pendekatan pembangunan inklusif yang dipacu oleh komuniti dapat mengurangkan ruang untuk berlakunya penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kegiatan jenayah lain.

Projek seperti penubuhan sukarelawan belia sempadan, kampung angkat integriti, dan inisiatif pemulihan sosial berasaskan komuniti dapat memperkukuh jaringan sosial serta nilai bersama yang mencegah gejala tidak sihat.

Malah, APPGM-SDG boleh dijadikan pelengkap kepada strategi pertahanan sempadan negara secara bukan ketenteraan.

Cabaran dan jalan ke hadapan

Walau bagaimanapun, pelaksanaan APPGM-SDG di kawasan sempadan menuntut perhatian kepada beberapa cabaran utama.

Antaranya tahap kesedaran masyarakat terhadap konsep SDG yang masih rendah, kekangan logistik di kawasan pedalaman, serta kebergantungan tinggi kepada sokongan politik semasa.

Oleh itu, kejayaan APPGM-SDG memerlukan komitmen politik rentas parti, kerjasama agensi pusat dan negeri, serta pembangunan kapasiti komuniti secara berterusan.

Potensi besar pelaksanaan APPGM-SDG di negeri sempadan juga seharusnya diselaraskan dengan pelan pembangunan wilayah seperti Dasar Ekonomi Sempadan Nasional (DESN) yang sepatutnya dirangka sesegera mungkin serta program pembangunan yang dibiayai oleh NCER, UNDP dan badan CSR korporat.

Sinergi ini mampu mempercepat pencapaian matlamat pembangunan dan menjadikan kawasan sempadan sebagai zon contoh pembangunan mampan yang inklusif dan tangkas.

Secara keseluruhan, APPGM-SDG merupakan wadah strategik dan berkesan untuk membawa suara rakyat sempadan ke arus pembangunan negara. Ia bukan sahaja menjanjikan perubahan daripada sudut ekonomi dan sosial, malah mengukuhkan perpaduan, integriti dan keselamatan di kawasan yang selama ini dianggap ‘pinggiran’.

Kini tiba masanya kerajaan, Parlimen dan agensi berkepentingan menjadikan negeri-negeri sempadan sebagai fokus utama pelaksanaan APPGM- SDG bagi fasa seterusnya.

Dengan pendekatan yang betul, kawasan sempadan Malaysia-Thailand dapat berubah dari kawasan berisiko tinggi kepada zon harapan baharu pembangunan mampan negara.

* Rushdan Rusmi ialah Ahli Parlimen Padang Besar, Perlis