Video tular premis guna sijil halal rumah sembelihan kes lama - Mohamad

Iklan
Tangkap layar video teguran seorang individu terhadap sebuah premis makanan yang mempamerkan salinan sijil halal rumah sembelihan yang tular di media sosial. (Gambar kecil: Mohamad)

GEORGE TOWN - Isu video tular di media sosial memaparkan seorang individu menegur premis makanan kerana mempamerkan salinan sijil halal rumah sembelihan bukanlah insiden baharu, sebaliknya merupakan penyebaran semula video lama pada awal Julai lalu.

Premis terbabit adalah sebuah kedai makan yang beroperasi di medan selera sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, bukannya premis makanan di pasar raya di Sungai Dua seperti yang didakwa.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui Bahagian Pengurusan Halal telah mengambil tindakan segera sebaik maklumat diterima pada 8 Julai lalu.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan ketika itu sudah tidak lagi mempamerkan salinan sijil halal rumah sembelihan milik sebuah syarikat berdaftar.

Iklan

“Pihak premis juga telah diingatkan agar tidak mempamerkan sijil halal milik pihak lain yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, hasil pemeriksaan tersebut kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang Bilangan 11 Tahun 2025 pada 15 Julai lalu.

Iklan

Susulan penularan semula video berkenaan, katanya, JHEAIPP dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sekali lagi membuat pemeriksaan di premis yang beroperasi di pusat beli-belah di Bayan Lepas dan Jalan Gurney pada Rabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi sijil halal milik syarikat lain dipamerkan dan tiada kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan masyarakat agar menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, khususnya di media sosial.

“Pengesahan status halal boleh dibuat melalui portal halal di pautan myehalal.halal.gov.my,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan berhubung penyalahgunaan logo halal atau SPHM kepada Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP melalui talian 04-2505451 atau e-mel ehalal@penang.gov.my.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai sijil halal premis makanan berasaskan nasi ayam yang diragui statusnya sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

Dalam klip video berdurasi satu minit 30 saat itu memaparkan seorang lelaki mempersoalkan tentang sijil halal yang dipaparkan di hadapan premis yang terletak di dalam sebuah pusat beli -belah di Bayan Lepas.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi dan komen warga net yang menyelar perbuatan pemilik premis makanan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.