Bukan kes culik, kanak-kanak keluar sendiri dari PDK - Polis

Iklan
Polis nafi berlaku kejadian culik membabitkan kanak-kanak perempuan enam tahun

KUALA BERANG - Polis menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sini, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDPK) Kuala Berang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kanak-kanak itu telah keluar dari PDPK tanpa disedari sebelum ditemui orang awam sedang berjalan di tepi jalan utama.

"Pihak PDPK menggunakan kaedah terapi mengikat tangan bagi melatihnya duduk diam semasa makan dan dipersetujui ibunya.

Iklan

"Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah keluar tanpa disedari selepas pintu dibuka kanak-kanak lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut dan ibu mangsa turut membuat penafian bagi menolak spekulasi berhubung dakwaan penculikan yang tular di media sosial.

Iklan

Sehubungan itu, Sharudin menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kanak-kanak terbabit demi menjaga nama baik keluarga mangsa serta institusi berkaitan.

Terdahulu tular rakaman berdurasi 30 saat di platform media sosial yang meminta orang ramai berhati-hati kerana dipercayai berlaku kes culik di Kuala Berang. - Bernama