SHAH ALAM - Mekanisme pelaksanaan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu efektif serta berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, pemisahan kuasa merupakan kunci kestabilan negara sekiranya ia ditegakkan tanpa kompromi.
“Hasrat ini wajar didukung dengan iltizam politik merentas kepartian. Pemisahan kuasa ini penting bagi memastikan kes disiasat dan pendakwaan dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh atau pertimbangan eksekutif mahupun politik.
“Ia juga adalah proses pemeliharaan kedaulatan undang-undang dan penghapusan sebarang bentuk percanggahan peranan Peguam Negara selaku penasihat kerajaan, manakala Pendakwa Raya menjalankan fungsinya dengan bebas dan profesional menjunjung keadilan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri pagi Rabu.
Tambah Nurhayati, pemisahan tersebut dapat menjamin keadilan tanpa prejudis, sekali gus pertanggungjawaban undang-undang terletak ke atas bahu setiap badan bagi mengelakkan kecurangan proses keadilan, terutamanya untuk kes berprofil tinggi.
“Justeru, Mahkamah juga akan dapat menatijahkan keputusan yang bebas daripada pengaruh dan gangguan luar.
“Paling utama, keseriusan kerajaan dalam melaksanakan pengasingan kuasa ini akan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kemungkinan wujudnya pendakwaan terpilih.
“Untuk itu, kami berharap garis masa diperjelaskan dan laporan kemajuan proses ini dibuat telus serta terbuka secara berkala kepada rakyat. Setiap peringkat pelaksanaan yang dijalankan juga mestilah bebas daripada sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya.
Ujarnya lagi, Rasuah Busters akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan serta memantau rapat perkembangan proses pemisahan kuasa berkenaan, dan pada masa sama menuntut kenyataan itu diterjemahkan dengan tindakan segera yang konsisten serta penuh amanah.