Poster tarikh penting berkaitan PRN Sabah ke-17 tular palsu - SPR

Iklan
SPR menegaskan bahawa poster yang tular di media sosial memaparkan tarikh penting berkaitan PRN Sabah ke-17 adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan bahawa poster yang memaparkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang kini tular di media sosial adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi telah dibuat oleh SPR berkenaan pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRN tersebut.

Iklan
Iklan

“Pihak SPR juga ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media.

“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah Khairul Shahril, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.

SPR juga menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.

Iklan

“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR,” jelasnya.