Polis siasat insiden lelaki dipukul, gambar tular di media sosial

Iklan
Tular gambar mangsa cedera dan dirawat di hospital.

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan insiden seorang lelaki berusia 23 tahun dipukul dan disamun di sebuah pusat hiburan karaoke dalam pusat membeli-belah di bandar raya ini selepas gambar mangsa cedera tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan polis diterima pada 7 September lalu sebelum gambar mangsa dimuat naik di platform X melalui akaun @negori09.

Iklan
Iklan

“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala, mata serta tangan dan telah menerima rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tular gambar mangsa cedera dan dirawat di hospital.

Menurut beliau, usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan.

Iklan

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2254677 atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syahriezam Shamri di talian 014-8028427,” katanya.

Sebelum itu, beberapa gambar mangsa menerima rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru tular di media sosial.

Salah satu gambar tersebut memaparkan sebelah mata mangsa merah berdarah selain kesan lebam serta jahitan di kepala.