BRUSSELS - Suruhanjaya Eropah menggantung semua pembayaran kepada Israel berhubung tindakan negara itu di Semenanjung Gaza, kata Presiden Ursula von der Leyen pada Rabu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
"Kami akan menangguhkan sokongan dua hala kami kepada Israel. Kami akan menghentikan semua pembayaran dalam bidang ini tanpa menjejaskan kerja kami dengan masyarakat sivil atau [muzium Holocaust] Yad Vashem," katanya dalam ucapan kepada Parlimen Eropah di Strasbourg.
Beliau menambah:"Kami akan mencadangkan sekatan ke atas menteri-menteri ekstremis dan peneroka ganas."
"Kebuluran buatan manusia tidak boleh menjadi senjata perang. Demi kanak-kanak, demi kemanusiaan, ini mesti dihentikan... apa yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima dan... Eropah mesti memimpin seperti yang telah dilakukan sebelum ini," katanya.
Beliau juga mencadangkan"penggantungan separa" terhadap Perjanjian Persatuan yang telah menyokong hubungan politik dan ekonomi antara kedua-dua pihak sejak 2000. - Bernama