Biofuel getah pacu produktiviti, lonjak ekonomi pekebun kecil

Iklan
Manndzri (duduk, empat dari kiri) bersama jawatankuasa sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Biofuel Getah di Ibu Pejabat RISDA pada Selasa.

SHAH ALAM - Sektor getah negara dijangka mengalami transformasi lebih meluas apabila Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memulakan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Biofuel Getah.

Mesyuarat yang diketuai oleh pengerusinya, Manndzri Nasib di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa itu dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh daya saing industri getah negara.

Iklan
Iklan

Selain itu, ia membuka ruang dan peluang baharu kepada lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara untuk menikmati sumber pendapatan yang lebih stabil serta mampan.

Manndzri berkata, projek biofuel getah tersebut bukan hanya menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui negara, malah berpotensi besar untuk menjadikan getah sebagai bahan bakar alternatif bernilai tinggi yang mampu merancakkan ekonomi desa.

Iklan

Manndzri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Biofuel Getah di Ibu Pejabat RISDA pada Selasa.

“Biofuel berasaskan getah akan menjadi pemacu produktiviti sektor komoditi, memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai pengeluar getah utama dunia.

Iklan

“Pada masa sama, ia menyokong kepada gagasan Malaysia Madani dan aspirasi Desa Madani dalam agenda kelestarian serta kemakmuran komuniti desa,” katanya.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar daripada kementerian, pihak industri dan universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta Universiti Teknologi Petronas (UTP) melalui penubuhan Technical Working Group (TWG).

Pasukan berkenaan akan berperanan merangka dasar, melaksanakan penyelidikan dan memastikan pelaksanaan projek berjalan secara teratur serta mapan.

Pelaksanaan projek dibahagikan kepada tiga fasa itu dijangka bermula pada hujung tahun ini.

MANNDZRI

Fasa permulaan akan dilaksanakan bagi menguji keberkesanan teknologi biofuel dan memastikan pematuhan piawaian keselamatan serta teknikal.

Fasa kedua melibatkan pembangunan skala besar dengan kolaborasi universiti tempatan dan pihak industri bagi memperluaskan penyelidikan, pembangunan teknologi serta pasaran.

Sementara itu, fasa ketiga pula disasarkan mencapai tahap pengkomersialan dengan sokongan pensijilan Environmental, Social and Governance (ESG) serta jaringan strategik industri.

Projek biofuel getah itu dijangka memberi kelebihan besar kepada pekebun kecil apabila wujudnya permintaan baharu terhadap getah sekerap, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada harga pasaran getah asli semasa yang mencabar.

Menurut Manndzri, langkah ini membuktikan bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju projek biofuel berasaskan getah di rantau ini.

Tambahnya lagi, projek tersebut bukan sahaja berupaya menjanjikan pendapatan tambahan kepada pekebun kecil, malah akan melonjakkan kedudukan Malaysia dalam industri tenaga hijau global.