Alasan lapuk peniaga ‘tipu’ pengguna

Iklan
Muhamad Hanif ketika bersama dalam operasi dijalankan KPDN Selangor baru-baru ini.

SHAH ALAM – Tidak tahu harga terkini, harga baru naik selain mendakwa tidak sempat meletak tanda harga kerana tiada masa antara alasan paling kerap diberikan peniaga setiap kali pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025.

Alasan itu sering diberikan walaupun peniaga mengetahui harga sebenar barangan yang dijual termasuk harga kawalan yang telah ditetapkan kerajaan.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, dalam beberapa situasi, peniaga mengakui maklum mengenai harga siling, namun tetap menjual barangan pada harga lebih tinggi atas alasan kos meningkat atau mengikut harga pasaran.

“Antara kes yang kerap dikesan ialah penjualan barang kawalan seperti minyak masak pada harga melebihi kadar ditetapkan, meskipun barangan itu diperoleh melalui saluran subsidi.

Iklan

“Ada juga peniaga dakwa tidak mempunyai masa untuk meletakkan tanda harga, khususnya di premis kecil yang dikendalikan oleh seorang atau dua pekerja sahaja.

“Tetapi pemeriksaan mendapati ketiadaan tanda harga bukan bersifat sementara, sebaliknya berlarutan dan disengajakan bagi membolehkan harga diubah mengikut situasi dan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Muhamad Hanif berkata, dalam beberapa kes, tanda harga hanya dipamerkan selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

Katanya, ia mencerminkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan undang-undang.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan hak pengguna, malah membuka ruang manipulasi harga dan eksploitasi yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan berkala.

Dalam beberapa kes, tanda harga hanya dipamerkan selepas kehadiran pegawai penguat kuasa disedari.

“KPDN Selangor turut mengesan kes peniaga menyalahkan pekerja, walaupun pemilik sendiri berada di premis dan mempunyai kuasa penuh terhadap operasi perniagaan,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025, sebanyak 110,067 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh Selangor.

Menurutnya, angka itu mencerminkan skala sebenar penguatkuasaan serta tahap pematuhan peniaga terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,141 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga, menjadikannya kesalahan paling dominan dan kerap dikesan,” jelasnya.

Beliau berkata, 146 kes pula melibatkan Akta Kawalan Bekalan manakala 293 kes direkodkan di bawah Akta Timbang Sukat.

Menurutnya, 62 kes lagi membabitkan pelanggaran Akta Perlindungan Pengguna sekali gus menunjukkan kelemahan pematuhan terhadap hak pengguna masih berlarutan.

Muhamad Hanif berkata, alasan tidak mengetahui harga terkini atau tiada masa mempamerkan tanda harga tidak boleh diterima kerana tanggungjawab itu terletak sepenuhnya kepada peniaga.

“Undang-undang meletakkan kewajipan mempamerkan harga dengan jelas kepada peniaga, bukan pengguna,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang 2025, sebanyak 1,381 premis dikenakan kompaun serta-merta dengan jumlah keseluruhan RM341,900.

“Dalam masa sama, 478 kertas siasatan dibuka melibatkan kes lebih serius dengan jumlah kompaun mencecah RM3.87 juta.

“Nilai rampasan sepanjang tempoh itu pula direkodkan mencecah RM18.05 juta, melibatkan pelbagai kategori barangan yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.

Muhamad Hanif memaklumkan, sebanyak 151 operasi bersepadu turut dilaksanakan sepanjang 2025 bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten.

Menurut beliau, penguatkuasaan akan terus diperkasakan kerana kegagalan mematuhi undang-undang memberi kesan langsung kepada pengguna.

Premis dikendali individu lain

Lebih membimbangkan, menurut beliau, kecenderungan segelintir pemilik premis berdaftar yang menyerahkan sepenuhnya pengurusan perniagaan kepada pihak lain tanpa mengambil kira implikasi undang-undang.

Situasi ini dikesan berulang kali, termasuk premis yang beroperasi atas nama pemilik tempatan tetapi dikendalikan individu yang tidak mempunyai liabiliti sah.

Muhamad Hanif berkata, setiap premis yang berdaftar sah di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia perlu diuruskan oleh pemilik berdaftar atau pekerja warganegara yang mempunyai tanggungjawab undang-undang.

“Kehadiran pihak yang bertanggungjawab secara sah amat penting bagi memastikan maklum balas kepada penguat kuasa adalah tepat dan boleh dipercayai.

“Apabila pemilik sah terlibat secara langsung, mereka akan lebih peka dan mempunyai fear factor untuk tidak sewenangnya menyerahkan pengurusan kepada pihak yang tidak mempunyai liabiliti,” tambahnya.

KPDN Selangor komited merangka pelan tindakan atau blueprint penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan.

Menurut beliau, ketidakpatuhan bukan sahaja boleh membawa kepada kompaun atau pendakwaan, malah berisiko mengundang tindakan lebih berat di bawah bidang kuasa KPDN dan SSM.

Muhamad Hanif menegaskan, pendaftaran perniagaan boleh dibatalkan sekiranya pemilik didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau berkata, implikasi lebih serius ialah pemilik perniagaan boleh disenarai hitam daripada mendaftarkan perniagaan baharu secara sah dalam negara.