SERI KEMBANGAN – Sebanyak 34 premis niaga di Pasar Borong Selangor dikenakan kompaun selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam satu operasi bersepadu pada Selasa.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan terhadap 227 lot niaga mendapati ada peniaga beroperasi tanpa lesen, menggaji pekerja asing tanpa permit serta mempamerkan iklan tanpa kebenaran.
Iklan
Iklan
Selain itu, seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan dalam serbuan jam 8.30 pagi itu membabitkan 29 lelaki dan tiga wanita.
"Kesemua mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor kerana bekerja tanpa dokumen sah," jelas kenyataan itu pada Rabu.
Operasi khas berkenaan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa MBSJ, Muhamad Sulaiman Abdullah bersama Ketua JIM Negeri Selangor, Khairil Anwar Mat Soud dengan kekuatan 85 anggota.
Menurut MBSJ, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.