IPOH - Jumlah kes tertunggak melibatkan penceraian di Mahkamah Syariah di Perak menyaksikan penurunan setiap tahun biarpun jumlah pendaftaran kes sentiasa meningkat saban tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada tahun 2023, jumlah pendaftaran kes semasa yang diterima sebanyak 10,084 manakala baki kes dari tahun 2022 dan tahun-tahun sebelumnya sebanyak 2,417 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12,501 kes.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 10,135 kes telah berjaya diselesaikan dengan peratus prestasi penyelesaian keseluruhan 81 peratus dan baki yang dibawa ke tahun 2024 berjumlah 2,366 kes.
"Pada tahun 2024 berbekalkan baki sebanyak 2,366 kes dan jumlah pendaftaran kes semasa sebanyak 11,013 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam prosiding sebanyak 13,373 kes.
"Daripada jumlah tersebut prestasi penyelesaian kes meningkat kepada 85 peratus dengan jumlah penyelesaian keseluruhan kes meningkat kepada 11,361 kes. Sehubungan itu, baki kes yang dibawa pada tahun 2025 menurun kepada 2,012 kes," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Saarani berkata, kelewatan dalam penyelesaian kes di Mahkamah Syariah itu bukan disengajakan atau dirancang untuk menyusahkan rakyat tetapi adalah disebabkan beberapa faktor.
Jelasnya, prestasi penyelesaian kes dipengaruhi oleh jumlah pendaftaran dan baki kes serta faktor ketidakcukupan sumber manusia.
Menurutnya, perjalanan kes-kes mahkamah turut dipengaruhi oleh faktor komitmen pihak yang bertikai, peguam syarie masing-masing serta saksi dalam prosiding yang sedang berlangsung.
Sementara itu beberapa inisiatif dilakukan Jabatan Kehakiman Syariah dalam memastikan kes-kes didaftar diselesaikan dalam tempoh masa sewajarnya tanpa kelengahan yang disengajakan.
Saarani berkata, pemantauan juga dibuat oleh Ketua Hakim Syarie dan pengurusan atasan setiap enam bulan bagi prestasi penyelesaian sasaran yang ditetapkan melalui Mesyuarat Penilaian KPI Kehakiman.