SHAH ALAM – Dua murid tujuh tahun dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Al-Amin Darul Musthofa (Elmina) berjaya meraih pingat emas menerusi ciptaan inovasi dinamakan ‘PotaSorb’ pada Virtual Innovation Competition (VIC) 2025 peringkat antarabangsa.
Pemenang kategori Junior Scientist Award anjuran Digit360 dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Mohamad Mika Mohamad Mustaqim berkata, ciptaan itu diilhamkan daripada keprihatinannya terhadap datuk yang menghidap tekanan darah tinggi.
“Saya lihat datuk sering bergelut dengan tekanan darah tinggi setiap kali menikmati makanan masin. Saya berkongsi masalah ini kepada Aqeef dan lahirlah PotaSorb iaitu
uncang berasaskan kentang yang mampu menyerap garam berlebihan tanpa menjejaskan rasa.
“Lebih menarik, ia bertindak sebagai bahan perasa semulajadi yang mudah digunakan, kos efektif dan boleh membantu keluarga menikmati makanan dengan lebih sihat. Kami mahu orang ramai makan tanpa risau,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Seorang lagi pemenang, Aqeef Shareef Muhamad Syazwan yakin bahawa ciptaan mereka mampu memberi manfaat kepada semua pengguna.
“Ini kerana PotaSorb merupakan inovasi yang mudah digunakan dan bersifat semula jadi,” jelasnya.
Sebelum ini, sekolah berkenaan beberapa kali meraih kemenangan dalam pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa dan kebangsaan anjuran universiti tempatan.
Kejayaan tersebut didorong oleh keberanian murid seawal usia tujuh hingga sembilan tahun yang tampil yakin, fasih berbahasa Inggeris, mahir digital serta berani berdepan juri antarabangsa tanpa rasa gugup.
Dalam pada itu, Guru Besar Ko-Kurikulum dan Penciptaan Nilai, Nur Alifah Ilyana Norhalim berkata, pihak sekolah berhasrat melahirkan generasi yang mahir dalam inovasi dan STEM, fasih berbahasa Inggeris serta tetap berpegang pada nilai Islam.
“Kami mahu melahirkan murid yang berani, yakin diri dan berfikiran global. Pendidikan di Al-Amin Darul Musthofa (AADMS) menekankan pembinaan kepimpinan masa depan selain penyampaian ilmu semata-mata.
“AADMS bukan sekadar Sekolah Rendah Agama Integrasi biasa tetapi sebuah institusi pendidikan holistik yang mengajar ilmu akademik berpadu dengan nilai agama,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar sekolah, Aisyah Mardhiah Darul Azahar menegaskan usaha membangunkan potensi murid perlu dimulakan sejak kecil dengan pemilihan sekolah yang tepat.
“Sama ada anak cenderung kepada sains atau seni, semangat ingin tahu, kreativiti dan pemikiran luar kotak perlu dipupuk agar potensi unik mereka dapat menyerlah. Kemenangan di VIC 2025 ini telah membawa makna lebih besar daripada sekadar pingat emas.
“Ia mencerminkan kasih sayang cucu terhadap datuk serta persahabatan dua sahabat kecil yang penuh empati. AADMS Elmina sekali lagi membuktikan pendidikan berteraskan iman, ilmu dan inovasi mampu melahirkan generasi kecil berjiwa besar,” jelas beliau.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 0132347310 dan website rasmi https://darulmusthofa.my/