Penjualan vape akan diharamkan sepenuhnya – Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly.

SHAH ALAM - Penjualan rokok elektronik atau vape akan diharamkan sepenuhnya oleh kerajaan sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulis Dewan Negara.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan had masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengharaman sepenuhnya penjualan produk tersebut.

Menurut Dzulkefly, ia akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

Iklan

Katanya, sebagai langkah awal Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengadakan perbincangan terperinci bersama kementerian dan jabatan utama.

"Ini membabitkan Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Pejabat Penasihat Undang-undang.

Iklan

"Hasil penelitian dan cadangan pelaksanaan pengharaman akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dasar, seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape di negara ini," katanya pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai kesediaan kerajaan mengharamkan penjualan vape seperti dilaksanakan beberapa kerajaan negeri supaya kesihatan rakyat awam dapat terus dilindungi daripada penyakit memudaratkan.

Tambah Dzulkefly, KKM menyokong langkah enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

"Ini adalah pendekatan proaktif seiring matlamat kesihatan awam negara," ujarnya