CYBERJAYA - Kerjasama strategik antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Universiti Malaya (UM) diyakini mampu meningkatkan pembangunan profesional dalam penguatkuasaan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di negara ini.
Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian berkata, di bawah inisiatif itu, seramai 100 warga kerja SWCorp kumpulan pelaksana telah dipilih bagi mengikuti tajaan Program Diploma Eksekutif Pengurusan Penguatkuasaan Undang-undang dan Diploma Eksekutif Pengurusan Pentadbiran dan Operasi di universiti tersebut.
"Ini merupakan kerjasama buat kali pertama antara SWCorp dengan UM. Untuk pengetahuan, kebanyakan warga kerja penguatkuasaan SWCorp hanya mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
"Sebab itu, kita mahu tingkatkan tahap pendidikan dan kemahiran mereka dengan menawarkan kos pengajian diploma bersama dengan UM," katanya ketika sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UM dengan SWCorp di Dewan Auditorium UM pada Rabu.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UM, Profesor Dr Kaharudin Dimyati.
Ujar Loy Sian, usaha berkenaan juga bertujuan memperkukuhkan asas pengetahuan dan kemahiran warga kerja SWCorp dalam mendepani cabaran tugasan pada masa akan datang.
"Pada masa akan datang, SWCorp dijangka akan ambil alih (pengurusan sampah dan pembersihan awam) di dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
"Banyak cabaran akan berlaku termasuk dari segi tapak sampah haram dan lambakan sampah sarap. Jadi sudah tentu pekerja kita bukan sahaja perlu mahir dari aspek akademik tetapi juga dalam bidang penguatkuasaan undang-undang," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, inisiatif pengajian yang dijangka bermula pada 13 September itu juga selari dengan program 'Best Home Talent' yang menyokong dasar kecemerlangan SWCorp 2.0.
"Kami ingin memastikan kumpulan sokongan ini yang berada di lapangan dapat melaksanakan sistem penguatkuasaan kami dengan lebih cekap.
"Jadi dari segi manfaat, sudah tentu mereka akan mempunyai satu daya pemikiran kreatif dan paling penting sekali dapat meningkatkan tahap integriti serta penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Sementara itu, Pembantu Penguatkuasa SWCorp Wilayah Persekutuan, V Siniah, 41, turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi SWCorp kerana memberi peluang kepada warga kerjanya untuk melanjutkan pembelajaran mereka pada tahap lebih tinggi.
"Usaha ini bukan sahaja meningkatkan ilmu pengetahuan kita, malah membantu dari sudut melaksanakan tugasan harian dalam bidang pengurusan," katanya yang juga merupakan salah seorang peserta program tersebut.
Selain itu, Pembantu Setiausaha Pejabat SWCorp Negeri Sembilan, Noorsuhaila Mohd Nordin, 43, berkata, meskipun sudah bekerja, namun ia tidak menghalang individu untuk terus belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan mereka.
"Terima kasih kepada pengurusan SWCorp. Insya-ALLAH kita akan berusaha memastikan kejayaan yang boleh membanggakan SWCorp pada masa akan datang," ujarnya.