PETALING JAYA - Memorandum Persefahaman (MoU) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperkukuh sektor koperasi dalam pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, MoU ini akan berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh ia ditandatangani.
Menurutnya, objektif MoU ini ialah mewujudkan kerjasama dua hala yang stabil dan berpanjangan dalam memupuk budaya antirasuah dalam sektor koperasi selain memelihara serta memperkukuh sokongan sektor koperasi terhadap usaha pencegahan rasuah oleh SPRM dan Kerajaan Malaysia.
"Ini juga bagi memastikan koperasi dan organisasi berkaitan mematuhi peraturan antirasuah dan amalan tatakelakuan yang baik.
"MoU ini juga memberi peluang besar kepada SPRM untuk memperluas capaian dan keberkesanan usaha pencegahan rasuah ke dalam sektor koperasi," katanya dalam Majlis Perasmian dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini pada Rabu.
Turut hadir Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Tambah Azam, sepanjang tahun 2020 hingga 2025, SPRM telah membuka 356 kertas siasatan melibatkan koperasi dengan 76 tangkapan, 42 pertuduhan dan tujuh sabitan.
Jelasnya, angka ini memberi isyarat bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam memerangi salah guna kuasa dan ketirisan dalam sektor ini.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kerjasama strategik ini penting bagi memastikan koperasi seluruh negara bebas daripada salah guna kuasa dan penyelewengan.
Katanya, selain kerjasama dengan SPRM, Angkasa turut melaksanakan langkah-langkah dalaman untuk memperkukuh integriti termasuk menubuhkan Unit Integriti sejak 2016.
"Adanya kerjasama ini, saya percaya budaya sifar toleransi terhadap rasuah dalam setiap lapisan koperasi dapat diwujudkan," ujarnya.