Budak tujuh tahun didera kerana disyaki curi duit nenek

Iklan
Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera akibat didera selepas disyaki mencuri wang neneknya di Sungai Tengi Gedangsa di sini pada 8 September lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, mangsa dicubit di kaki, dipukul dengan tangan serta cedera di kepala akibat ditarik rambut dengan kuat.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun keadaan mangsa dilaporkan stabil dan tiada kecederaan serius. Punca kejadian kerana mangsa disyaki mencuri wang neneknya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ibrahim berkata, ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 7.17 malam, 8 September lalu ketika mengambil anaknya di rumah bekas ibu mertuanya.

Iklan

"Hasil maklumat, polis menahan dua wanita tempatan berusia 35 dan 71 tahun iaitu bekas adik ipar dan bekas ibu mertua pengadu," jelasnya.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing juga negatif.

Iklan

"Kedua-dua suspek telah dirakam keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," ujarnya.