PASIR MAS – Dua bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menceroboh sekolah dan mencuri wang tunai berjumlah RM25.
Tertuduh Mohd Izaman Sazli Che Noordin, 40, dan rakannya Mohd Zulkifli Mat Ghani, 41, didakwa di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Mohd Daud.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka yang bekerja sebagai pengait buah sawit didakwa menceroboh bilik koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, Jeli pada jam lebih kurang 1 pagi, 31 Ogos lalu dan mencuri wang tunai RM15.
Bagi pertuduhan kedua, mereka turut didakwa menceroboh bilik guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah sama pada waktu dan tarikh sama sebelum mencuri wang tunai RM10.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mahkamah menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes dan fakta hukuman.
Majistret membenarkan dua bekas tentera itu diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun tiada bayaran jaminan dibuat.