[VIDEO] JPJ gempur kenderaan perdagangan bermasalah, 274 disita

Iklan

SEPANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meneruskan tindakan agresif terhadap kenderaan perdagangan yang 'bermasalah' apabila sebanyak 274 buah daripadanya disita sepanjang Ops Gempur Kenderaan Perdagangan sejak 1 September lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negara itu merekodkan sebanyak 13,071 notis saman ke atas pelbagai kesalahan serius.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 133,598 kenderaan perdagangan telah diperiksa menerusi operasi yang akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025.

"Jumlah saman yang tinggi membuktikan masih ramai pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan tidak mematuhi undang-undang asas jalan raya walaupun peraturan ini telah lama dikuatkuasakan.

Iklan

"Antara kesalahan utama adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh, kenderaan tanpa insurans sah, tiada lesen vokasional serta pelbagai kesalahan teknikal lain," katanya dalam sidang akhbar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada Selasa.

Katanya, kesalahan tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Iklan

"Semua kesalahan yang direkodkan ini secara langsung membabitkan aspek keselamatan bukan sahaja pemandu malah pengguna jalan raya lain.

"Apabila pemandu tidak mempunyai lesen atau kenderaan tiada insurans, risiko yang ditanggung orang awam sangat besar sekiranya berlaku kemalangan," katanya.

Menurutnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan semua tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara menyeluruh.

"Pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan yang ingkar tetap akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

"Pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab bersama, tidak ada alasan untuk mana-mana pengusaha atau pemandu mengabaikannya kerana keselamatan semua pengguna jalan raya perlu diutamakan," katanya.

Muhammad Kifli berkata, operasi tidak hanya tertumpu di lebuh raya dan kawasan rehat, sebaliknya turut dilaksanakan di pelbagai lokasi lain yang dikenal pasti menjadi laluan utama lori dan bas.

"Tindakan tegas ini penting bagi memastikan semua kenderaan perdagangan yang masih berdegil segera mengambil langkah pembetulan dan mematuhi syarat sah operasi.

"Bagi kami, penguatkuasaan ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mahu mendidik pemilik serta pemandu kenderaan perdagangan bahawa setiap peraturan jalan raya mempunyai tujuan jelas iaitu untuk melindungi nyawa," katanya.

Tambahnya, orang ramai turut diminta agar menyalurkan aduan berkaitan kenderaan perdagangan secara terus menggunakan aplikasi MyJPJ atau melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap.