'Amukan' Gen Z di Nepal, apa punca sebenar?

Iklan
Kejadian arson berlaku secara meluas di Kathmandu dan bandar-bandar utama seluruh negara. - Foto Agensi

Sekatan ke atas media sosial jadi punca 'amukan' golongan muda hingga mencetuskan protes ganas di Nepal.

KATHMANDU - Konflik di Nepal memuncak selepas sekurang-kurangnya 19 terbunuh pada Isnin setelah pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah untuk menyuraikan peserta protes yang cuba menyerbu masuk ke Parlimen.

Siapa demonstran terlibat?

Iklan
Iklan

Ribuan golongan muda yang sebahagian besarnya dalam lingkungan 20-an atau lebih muda bergabung untuk mengadakan demonstrasi di ibu kota Kathmandu dan bandar lain.

Kebanyakannya ialah pelajar dan ada yang menyertai protes dengan memakai seragam sekolah serta kolej. Penganjur menggelar ia sebagai 'demonstrasi Gen Z'.

Iklan

Individu berusia 14-40 tahun meliputi hampir 43 peratus daripada poplasi di negara Himalaya itu.

Apa yang picu kemarahan golongan muda?

Iklan

Pada minggu lalu, pemerintah menyekat akses terhadap beberapa platform media sosial setelah syarikat berkenaan melanggar tarikh akhir untuk mendaftar di bawah peraturan baharu untuk mengelakkan ia disalahgunakan.

Notis kerajaan mengarahkan pengawal selia, Pihak Berkuasa Telekomunikasi Nepal supaya menyahaktif media sosial yang tidak berdaftar, namun tidak memberikan butiran lanjut tentang platform yang terlibat.

Ketika itu, pemerintah menegaskan perkhidmatan tidak akan disambung semula melainkan platform berkenaan mematuhi perintah baharu ditetapkan.

Media tempatan melaporkan platform yang terkesan termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, YouTube, Tencent, Snapchat, Pinterest dan X.

Apa tuntutan peserta protes?

Rakyat mendakwa amalan rasuah berleluasa di Nepal malah kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, K P Sharma Oli dikritik puak penentang beliau kerana gagal menunaikan janji untuk menangani isu tersebut atau membuat sebarang kemajuan bagi menangani masalah ekonomi yang berlarutan.

Golongan muda di Kathmandu menegaskan demonstrasi itu bertujuan untuk menzahirkan kekecewaan mereka terhadap larangan media sosial.

Golongan muda di Nepal menjadikan media sosial untuk mengutuk gaya hidup mewah ahli politik dan keluarga mereka serta penjawat awam hingga menyebabkan sekatan dikenakan.

Apa berlaku pada 8 September?

Sekurang-kurangnya 19 terkorban manakala lebih 100 yang lain cedera selepas ribuan demonstran 'mengamuk' di bandar-bandar utama seluruh negara hingga mengakibatkan banyak harta benda musnah.

Kompleks Parlimen diserbu selain harta-benda awam seperti ambulans dibakar untuk meluahkan kemarahan mereka.

Keadaan yang tidak terkawal menyebabkan pasukan polis terpaksa menggunakan meriam air, baton dan tembakan peluru getah bagi menyuraikan demonstran. Pasukan tentera turut dikerahkan ke lokasi terjejas dan perintah berkurung dikuatkuasakan, namun tetap dilanggar peserta protes.

Rakaman jadi tular di media sosial menunjukkan bekas Perdana Menteri, Sher Bahadur Deuba dan isterinya, Arzu Rana yang juga Menteri Luar diserang penunjuk perasaan, namun tidak dapat dipastikan kesahihan klip tersebut.

Kawasan Singha Durbar yang menempatkan Pejabat PM dan kementerian lain serta kompleks Parlimen menjadi sasaran arson.