PORT DICKSON –"Pakcik minta maaf tak dapat selamatkan, pakcik cuba, tapi pakcik tak boleh."
Demikian luahan Ade Mos, 47, ketika menyaksikan pengebumian dua kanak-kanak yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, minggu lalu.
Ternyata bapa kepada seorang anak perempuan berusia 10 tahun itu tidak dapat membendung kesedihan atas rasa terkilannya kerana gagal menyelamatkan mangsa.
Jika dilihat tangisannya tanpa henti dari awal jenazah dimasukkan ke liang lahad sehingga bacaan doa, seakan-akan wujud pertalian darah antara dia dan dua beradik tersebut.
Namun hakikatnya, dia baharu seminggu mengenali mereka.
Menurut Ade, yang juga saksi kejadian, meskipun perkenalannya dengan mangsa terlalu singkat, namun ia meninggalkan kesan mendalam.
"Kedua-dua arwah, terutama kanak-kanak perempuan itu, terlalu ceria dan membuatkan saya rasa dia sudah seperti anak kandung saya sendiri.
"Dia punya manja dan keletah itu membuatkan saya teringat-ingat. Disebabkan itulah walaupun perjumpaan saya dengan dia singkat, bagi saya ia sangat mendalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai pengebumian jenazah dua beradik berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, pada Selasa.
Ditanya bagaimana perkenalannya dengan mereka, Ade yang bekerja sebagai buruh berkata, dia mengenali kedua-duanya seminggu sebelum kejadian, namun lebih rapat dengan kanak-kanak perempuan tersebut.
Jelasnya, dia sering melihat keluarga mangsa berada di sungai berkenaan untuk memancing dan pernah berbual dengan bapa mereka.
"Yang perempuan itu sangat petah bercakap dan banyak bertanya kepada saya, itu yang membuatkan saya rapat dengannya.
"Selain itu, nama arwah juga hampir sama dengan anak saya dan saya sudah sayang padanya," katanya.
Dalam masa sama, Ade turut mengakui terkilan kerana gagal menyelamatkan mereka.
Katanya, sejak kejadian itu, dia sering tertanya-tanya bila kedua-duanya akan dikebumikan memandangkan timbul isu berkaitan status agama mereka.
"Jadi bila saya dapat panggilan daripada seorang polis memaklumkan yang mangsa akan dikebumikan, saya tanpa berfikir panjang terus datang ke sini.
"Saya nak tengok mereka buat kali terakhir kerana saya dah rasa mereka macam anak sendiri, pada masa sama saya rasa ralat kerana tidak dapat menyelamatkan mereka," katanya yang hanya berjaya menyelamatkan seorang wanita bersama kanak-kanak terbabit.
Terdahulu, jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang.
Bapa mangsa yang kini direman turut dibawa polis ke tanah perkuburan, namun hanya duduk di dalam kereta dan kemudian dibawa pergi sebelum jenazah selesai dikebumikan.
Difahamkan, lelaki berusia 46 tahun itu sebelum itu dibawa ke hospital untuk melihat jenazah anaknya buat kali terakhir.
Selain itu, tiada waris atau ahli keluarga lain yang hadir, sebaliknya hanya penduduk kampung, anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta polis.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udian dan Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib.