Keadaan Zara Qairina merosot, meninggal dunia 17 Julai - Doktor

Iklan
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU - Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Pavankumar Balachandran dalam keterangan bertulisnya ketika prosiding inkues mengesahkan keadaan Zara Qairina Mahathir semakin merosot sebelum meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Dr Pavankumar merupakan saksi keempat dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung pada minggu kedua di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pesakit dirawat bersama oleh pasukan pelbagai unit melibatkan kepakaran Jabatan Kecemasan, Pembedahan Am, Ortopedik dan Bius Am.

"Selepas penilaian dilakukan oleh pasukan Neurosurgeri, satu perbincangan bersama keluarga telah diadakan untuk menerangkan keadaan kritikal pesakit.

Iklan

"Keluarga dimaklumkan secara terperinci mengenai ketiadaan refleks pada batang otak, iaitu petanda keadaan pesakit amat kritikal dengan peluang untuk pulih yang sangat tipis. Pesakit kemudiannya dimasukkan ke Wad Neurosurgeri dengan diiringi kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE pada jam 6.40 petang, 16 Julai 2025.

"Semasa dirawat di wad, pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal penambahbaikan. Pesakit semakin merosot dan akhirnya meninggal dunia pada 17 Julai 2025, kira-kira jam 1.07 tengah hari. Punca kematian adalah kecederaan otak trauma yang teruk dengan ensefalopati hipoksia-iskemia," katanya di Mahkamah Koroner pada Selasa.

Iklan

Dalam keterangannya juga, beliau memberitahu mahkamah bahawa pegawai penyiasat telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut selain memberi penerangan kepada ibu Zara Qairina mengenai punca kematian.

"Jenazah berada di wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat. Saya telah menerangkan kepada pegawai penyiasat dan ibu si mati mengenai punca kematian.

"Selepas perbincangan antara pegawai penyiasat dengan ibu si mati, beliau mengarahkan agar jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik," jelasnya.

Dr Pavankumar turut berkata bahawa beliau telah menyediakan laporan perubatan mengenai penemuan itu bertarikh 28 Julai lalu.