PN perlu hormati keputusan Armada calonkan Muhyiddin PM ke-11– Harris

Iklan

KUALA LUMPUR – Keputusan Armada Bersatu menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 harus dihormati oleh semua parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, cadangan itu yang diputuskan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada pada 6 September lalu akan diangkat ke Majlis Presiden PN untuk dipertimbangkan dan dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan tersebut bukan sahaja mencerminkan sokongan padu sayap anak muda terhadap kepimpinan Muhyiddin, malah selari dengan ketetapan yang dibuat dalam PAT Induk Bersatu pada 7 September 2025.

“Armada yakin pencalonan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 adalah manifestasi suara akar umbi.

Iklan

“Kami berharap semua parti komponen PN menghormati keputusan ini demi memastikan kesepakatan gabungan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain soal kepimpinan tertinggi negara, Harris berkata, Armada juga mengumumkan penubuhan Majlis Perunding Kebijakan Armada, sebuah jawatankuasa khas melibatkan golongan profesional muda pelbagai kaum.

Iklan

“Majlis ini akan berperanan merangka dasar dan polisi berkaitan anak muda agar suara generasi baharu dapat diketengahkan dalam hala tuju pembangunan negara,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, siri jelajah libat urus bersama anak muda di seluruh negara akan dimulakan pada Oktober depan bagi memperkukuh keterlibatan golongan itu dengan parti.

“Program ini akan menjadi ruang penting untuk mendengar cadangan, pandangan dan kebimbangan anak muda secara langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Armada juga memperkukuh persediaan menghadapi bencana, khususnya banjir melalui Briged Armada yang akan menambah aset dan kelengkapan operasi menyelamat.

“Kami mahu Armada sentiasa berada di barisan hadapan untuk menyantuni rakyat ketika bencana,” tegas Harris.

Mengulas persiapan politik, beliau berkata, Armada memberi tumpuan khusus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

“Gerak kerja lapangan akan digerakkan secara intensif di kawasan tumpuan yang berpotensi untuk dimenangi. Sabah adalah medan penting buat parti,” katanya lagi.

Menurut Harris, segala ketetapan yang dibuat dalam PAT kali ini adalah bukti iltizam Armada untuk terus menjadi nadi penggerak anak muda, selain memperkukuh kedudukan Bersatu dalam mendepani cabaran politik semasa.