Gambaran MTUC sokong pembentangan RUU Pekerja Gig adalah terpesong

Iklan
Kamarul Baharin

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menafikan dakwaan kononnya pihak mereka menyokong pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, sebaliknya menyifatkan gambaran itu sebagai fakta terpesong.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, keputusan sebenar Ahli Majlis Am kongres sebulat suara mahu penangguhan RUU berkenaan dilakukan segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Majlis Am MTUC yang bermesyuarat pada Ahad lalu memutuskan supaya pembentangan RUU Pekerja Gig ditangguhkan sehingga sesi libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diadakan.

“Penangguhan itu perlu dibuat bagi memberi peluang kepada MTUC selaku pusat buruh kebangsaan menyampaikan maklum balas terhadap draf RUU Pekerja Gig

Iklan

"Mesyuarat Majlis Am yang dipengerusikan presidennya turut mencapai kata sepakat selepas mendengar hujah berhubung kepentingan serta kesan RUU itu terhadap pekerja Gig," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Kamarul Baharin, bantahan yang dikemukakan oleh Persatuan Pekerja Gig juga diambil kira dalam keputusan mesyuarat berkenaan.

Iklan

Selain itu, beliau memaklumkan, MTUC turut mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagi mendesak penangguhan bacaan RUU Pekerja Gig di Dewan Negara.

“MTUC percaya dan yakin RUU Pekerja Gig yang terbaik serta berkelas dunia hanya dapat dihasilkan sekiranya cadangan dan saranan daripada semua pihak berkepentingan diambil kira dalam proses merangka undang-undang itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kamarul Baharin berkata, MTUC merayu supaya keterlibatan organisasi MTUC tidak dipinggirkan dalam merangka RUU yang akan mengawal pekerja gig.

Tambahnya, RUU itu diharapkan mengikut jalur biasa dan tidak menggunakan kaedah luar biasa dalam perbentangan di Dewan Negara.

"MTUC turut menyokong kenyataan gabungan persatuan e-hailing dan p-hailing untuk penangguhan RUU itu kerana mereka yang berhadapan dengan situasi pekerjaan.

"Jangan dibuat mimpi indah-indah semasa merangka RUU itu dan mencadangkan pegawai kementerian menjadi pengiat e-hailing atau p-hailing dalam tempoh seminggu bagi menjiwai persekitaran kehidupan golongan itu," tegasnya lagi.

Beliau berpandangan, Kesuma wajar mengadakan perbincangan bersama MTUC dalam penyediaan RUU tersebut sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144.

“Konvensyen ILO 144 menetapkan kewajipan tiga pihak terutama berkaitan dengan pekerjaan agar kepentingan pekerja terus terbela,” menurutnya.