KAJANG – Keputusan representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin tertinggi perniagaan itu untuk mengkaji kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ditetapkan pada 30 Oktober depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun memberitahu Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi berkenaan.
Selepas prosiding, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili 21 tertuduh berkata, pihaknya mengemukakan representasi supaya AGC dapat mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi semua tertuduh.
Menurutnya, permohonan berkenaan termasuk menukar kepada seksyen dan hukuman yang lebih rendah.
“Kami hantar representasi pada Mei lalu dan ketika pengurusan kes hari ini, mahkamah menetapkan keputusannya pada bulan depan.
“Jika tiada sebarang perkembangan dimaklumkan, mahkamah akan meneruskan prosiding dengan perbicaraan bermula 17 hingga 21 November depan,” katanya.
Dalam prosiding ini, peguam, Kamal Hisham Jaafar hadir bagi mewakili seorang daripada tertuduh, akauntan GISBH, Hamimah Yakub, 73.
Pihak pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Shafiq Hashim.
Pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin, 66, isterinya, Azura Md Yusof; 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33 dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.
Mereka ialah lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mereka selaku pemohon merayu kepada mahkamah supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan, namun pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.
Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes yang dihadapi Hamimah bersama 21 tertuduh itu dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.