JKKP siasat kes pekerja maut tertimbus di Perak

Iklan
Husdin (tengah) melawat pameran selepas menghadiri Program Jerayawara Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja 2025 (Zon Pantai Timur) di Kuala Nerus.

KUALA NERUS – Kerja-kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di kawasan pengumpulan pasir sungai di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Seri Iskandar, Perak dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kejadian seorang pekerja kontrak maut tertimbus, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Husdin Che Amat berkata, setiap insiden melibatkan kematian atau kecederaan kekal di tempat kerja wajib disiasat dengan membuka kertas siasatan (IP) untuk tujuan pendakwaan.

Iklan
Iklan

Katanya, setiap pegawai JKKP turut ditetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan tindakan mahkamah diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dalam setiap kes yang direkodkan.

"Jika berlaku kemalangan sehingga hilang upaya kekal atau mengakibatkan maut, pegawai JKKP mesti buka IP bagi tujuan pendakwaan.

Iklan

"Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan sama ada pendakwaan boleh diteruskan atau sebaliknya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jerayawara Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja 2025 (Zon Pantai Timur) di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini pada Selasa.

Menurut Husdin, JKKP juga berhak mengeluarkan arahan henti kerja (stop work order) di tapak projek bergantung kepada hasil siasatan awal.

Iklan

"Jika siasatan mendapati wujud risiko keselamatan, kerja mesti dihentikan serta-merta. Hanya selepas ada jaminan daripada pihak majikan bahawa prosedur keselamatan dipatuhi, barulah notis itu boleh dilepaskan," katanya.

Beliau berkata, tempoh siasatan bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu kes.

"Bagi kes kematian, laporan awal mesti dikeluarkan segera. Namun siasatan menyeluruh boleh mengambil masa antara beberapa minggu hingga tiga bulan, malah kadangkala setahun jika melibatkan analisis forensik atau makmal luar negara," ujar beliau.

Dalam kejadian di Kampung Teluk Kepayang itu, mangsa, Raja Daniel Iskandar Raja Teh Suhaimi, 25, maut selepas tertimbus dalam timbunan tanah dan batu ketika menjalankan kerja pengorekan.

Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan kes kemalangan maut di tempat kerja menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh empat tahun iaitu sebanyak 301 kes pada 2021, meningkat kepada 317 kes pada 2022, 324 kes pada 2023 dan melonjak kepada 418 kes pada 2024.

Sektor pembinaan merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 73 kes pada 2021, 72 kes (2022), 88 kes (2023) dan terus meningkat kepada 101 kes pada 2024 diikuti sektor pembuatan/pengilangan dengan 65 kes pada 2021, 62 kes (2022), 66 kes (2023) dan 81 kes (2024).

Sementara itu, statistik JKKP menunjukkan sebanyak 1,038 kes pendakwaan dengan jumlah penalti mencecah RM15.8 juta direkodkan sejak 2022 hingga Julai lalu di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) serta Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).

Bagi tindakan kompaun pula, sebanyak 2,469 kompaun bernilai hampir RM6.9 juta dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut, selain 36,458 notis perbaikan dan larangan serta 142,474 surat arahan turut dikeluarkan.

Mengikut pecahan sektor, 583 kes melibatkan sektor pengilangan diikuti sektor pembinaan (272 kes) dan pertanian, perhutanan serta perikanan (57 kes).

Dari segi nilai penalti, sektor pengilangan mencatat lebih RM7.7 juta, diikuti pembinaan (RM5.1 juta) dan pertanian, perhutanan serta perikanan (RM840,000).