MELAKA - Kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh berhubung penganjuran International Marathon 2025 yang berlangsung pada Ahad lalu selepas timbul rungutan peserta termasuk insiden kemalangan ketika acara itu berlangsung.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyerahkan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
"Setakat ini saya telah mendengar laporan tersebut dan meminta MBMB serta PBT terlibat memberi laporan kepada pihak saya.
"Saya akan komen dengan lebih lanjut setelah menerima laporan penuh nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan seminar Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) di sebuah hotel di Kota Laksamana di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika diminta mengulas kemalangan peserta pada acara itu selain turut menimbulkan pelbagai reaksi negatif termasuk tentang aspek keselamatan peserta kerana diadakan di jalan raya.
Sebelum ini tular seorang peserta yang mendakwa dilanggar lari sebuah kereta ketika menyertai acara itu bagi larian 13.5 kilometer.
Difahamkan pemuda itu menerima jahitan di kepala selain mengalami kecederaan pada badan dan kaki.
Dalam perkembangan lain, Rais berkata, bermula 1 November ini semua urusan tandatangan dokumen jual beli rumah di Melaka akan dilaksanakan secara digital menerusi sistem Electronic Sale and Purchase Agreement (e-SPA) yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, Melaka menjadi negeri ke-10 mengadakan taklimat e-SPA dengan hampir 200 pemain industri perumahan, pemaju serta peguam hadir pada sesi anjuran Real Estate and Housing Developers’ Association (Rehda) Melaka.
"Selepas ini segala borang tidak lagi perlu manual kerana akan dilaksanakan secara digital, namun aspek keselamatan siber juga perlu diambil kira," katanya.