Ketawa, menangis gara-gara kucing AI

Iklan
Jika pandai ambil iktibar, video kucing AI boleh jadi pengajaran, kalau tidak, ia hanya hiburan kosong yang melalaikan. Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini Merak Jalanan seronok menonton video kucing kecerdasan buatan (AI) di media sosial.

Bukan kucing menari atau berlari-lari comel, tapi kisah satira yang cukup dekat dengan kehidupan manusia.

Iklan
Iklan

Ada video ibu kucing leka main telefon hingga anak terabai, ada pula pasangan kucing ‘curang’ yang penuh drama, malah ada kucing miskin dihina kucing kaya. Sekali tengok memang lucu, kadang-kadang sampai mengalirkan air mata.

Sebenarnya cerita kucing itu sekadar perumpamaan, cerminan sikap manusia zaman sekarang. Teknologi AI menjadikan ia lebih realistik, malah berjaya menyentuh hati ramai penonton.

Iklan

Kadang-kadang kita ketawa, kadang-kadang terasa kerana terkena batang hidung sendiri.

Inilah kuasa media sosial. Ia mampu mendidik secara halus, tanpa kita sedar. Melalui kucing, mesej tentang keluarga, kasih sayang, kesetiaan dan empati disampaikan dengan cara yang lebih mudah diterima.

Iklan

Namun, tak semua indah. Media sosial juga boleh mengundang ketagihan. Merak Jalanan pernah terleka kononnya nak tengok beberapa video sekejap sebelum tidur, akhirnya terlanjur sampai awal pagi.

Media sosial ibarat pisau. Salah guna boleh melukakan, namun jika betul cara penggunaan boleh jadi alat berguna.

Video kucing AI ini pun begitu. Kalau kita pandai ambil iktibar, ia boleh jadi pengajaran. Kalau tidak, ia hanya hiburan kosong yang melalaikan.

Ada juga orang kata, layari media sosial ini membuatkan kita macam orang tidak siuman, kadangkala ketawa terbahak-bahak, adakala tersenyum sendirian, malah tiba-tiba boleh menitiskan air mata sedangkan kita langsung bukan watak penting pun dalam video.

Ironinya, kita yang terlebih emosi, mereka dalam layar maya itu terus ‘kaya’ dengan tontonan kita.

Dan akhirnya, kitalah yang rugi masa, tenaga serta jiwa, hanya kerana seekor kucing maya.