Skandal lebuh raya MEX II: Abu Sahid, Wee Leong akan didakwa lagi

Iklan
Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 17 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Lebuh Raya MEX II, akan dituduh lagi atas tujuh kes kerana disyaki menyalahgunakan dana membabitkan projek sama.

Berdasarkan kenyataan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, selain Abu Sahid, 74, bekas pengarah syarikat kontraktor pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, turut akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi kes sama.

Iklan
Iklan

Menurut Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, Abu Sahid akan didakwa atas tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun Keseksaan membabitkan jumlah RM145 juta.

Sementara itu, Wee Leong akan didakwa atas 18 pertuduhan, iaitu masing-masing sembilan kes di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berjumlah RM209 juta dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berjumlah RM387 juta.

Iklan

“Hari ini, Abu Sahid telah dituduh atas empat pertuduhan pecah amanah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram kira-kira RM139.2 juta.

“Wee Leong pula didakwa menggunakan 17 dokumen tuntutan kemajuan palsu antara Jun 2017 hingga April 2018,” kata kenyataan itu.

Iklan

Beliau berkata, dokumen berkenaan melibatkan tuntutan kerja tanah, saliran, cerun dan pembinaan subgred bagi projek Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan nilai antara RM9 juta hingga RM28 juta setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM314 juta.

Ahmad Akram berkata, pertuduhan baharu itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.