GUA MUSANG – Kegiatan perlombongan emas haram di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Seting di sini tumpas selepas tiga warga asing diberkas pada Isnin.
Operasi bersepadu bermula jam 5.30 pagi itu dijalankan hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, tiga suspek lelaki terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia disyaki menjalankan aktiviti melombong emas tanpa permit serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas sebuah jentera ‘hydraulic excavator’ serta beberapa mesin dan peralatan perlombongan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM510,021.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
“Semua suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala barang rampasan disita oleh PTG Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelas beliau, operasi sebegini membuktikan komitmen PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras kegiatan perlombongan haram yang merugikan negara.
Tambahnya, tindakan bersepadu ini bukan sahaja memberi impak dari sudut penguatkuasaan, malah menjadi mesej jelas bahawa sebarang cubaan menceroboh atau mengeksploitasi hasil bumi tanpa kebenaran undang-undang akan dikenakan tindakan tegas.
“Kita akan terus mempergiatkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa agar sumber khazanah negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.