SD tidak tentukan jawatan Presiden Bersatu - Tun Faisal

Iklan
Tun Faisal Ismail

KUALA LUMPUR – Mana-mana Akuan Bersumpah (SD) tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan jawatan Presiden atau apa-apa jawatan yang dipilih secara sah melalui pemilihan parti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) merupakan platform tertinggi parti yang mengatasi semua platform lain kecuali perlembagaan Bersatu.

Iklan
Iklan

“SD tidak mempunyai sebarang tempat dalam perlembagaan parti. Malah, ia tidak boleh digunakan bagi memilih atau menentukan kedudukan Presiden yang diputuskan secara sah oleh ahli melalui pemilihan di peringkat bahagian dan PAT,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila wujud SD yang tidak sah kerana butirannya didakwa palsu, berbentuk penipuan dan bercanggah dengan keputusan PAT 2024.

Iklan

Katanya, hasil siasatan mendapati SD berkenaan diatur oleh hanya dua atau tiga individu yang sudah dikenal pasti dan disahkan melalui saksi-saksi.

“Membuat SD berdasarkan butiran palsu yang bertentangan dengan keputusan PAT 2024 serta tidak menepati takrifan sah di sisi undang-undang jelas menunjukkan pihak terbabit tidak memahami perlembagaan parti.

Iklan

“Cubaan menipu pemimpin bahagian dengan butiran palsu dalam SD juga membuktikan kumpulan ini hanyalah minoriti yang bukan sahaja gagal menandingi suara majoriti dalam PAT 2025, malah belum tentu mendapat sokongan pemimpin akar umbi di bahagian masing-masing,” ujarnya.

Tun Faisal berkata, isu SD itu dikaitkan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Namun katanya, perkara tersebut tidak lagi relevan selepas Hamzah sendiri tampil mengisytiharkan sokongan penuh kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hamzah sudah menyatakan, ‘Cukup-cukuplah. Saya nak beritahu kepada semua, saya penyokong nombor satu Presiden. Apa yang diarahkan kepada saya, percayalah, saya akan laksanakan’.

“Maka, SD yang diatur oleh penyokong-penyokong Hamzah sudah tidak lagi bermakna,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tun Faisal menegaskan keputusan PAT 2025 adalah bukti suara majoriti apabila hampir 2,600 perwakilan sebulat suara menyokong Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Presiden Bersatu, selain menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

“Ini sekali gus membuktikan suara majoriti perwakilan dalam PAT lebih berwibawa berbanding sebarang dokumen atau percubaan luar yang cuba menggugat perpaduan parti,” katanya.