SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menjadi mangsa dakwaan palsu di media sosial kononnya memberi tanah baharu kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Pin Hwa di Klang serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk digunakan bekerja di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (UNISEL).
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, tuduhan tidak berasas itu dipetik kononnya daripada laporan sebuah akhbar bertarikh 30 Ogos lalu, namun disensasikan di media sosial sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kenyataan tersebut boleh menimbulkan salah faham rakyat terhadap dasar kerajaan negeri dalam isu pendidikan dan tanah, selain cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan memberi layanan istimewa kepada pihak tertentu.
“Isu pendidikan Cina, pemberian tanah dan pengiktirafan UEC adalah perkara sensitif yang boleh menyentuh sentimen 3R (agama, kaum, raja) jika diputar belit pihak tertentu. Ia juga jelas cuba menimbulkan kebencian terhadap pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ng Sue Lim,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini sudah membuat penafian rasmi melalui dokumen bertajuk Gambaran Sebenar Bantuan Sekolah Negeri Selangor bertarikh 4 September 2025, yang menjelaskan fakta sebenar mengenai bantuan pendidikan.
Sehubungan itu, Mohamad Shahrul mahu pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan.