'Tak timbul isu calon PM, ia hak Bersatu - Dr Afif

Iklan
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berakhir pada Ahad meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu. (Gambar kecil: Dr Afif)

SHAH ALAM - Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bukan satu keputusan muktamad peringkat Perikatan Nasional (PN), sebaliknya proses biasa dalam parti politik yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, teguran Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mungkin berpunca daripada kekeliruan terhadap kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Saya rasa tidak timbul isu (menamakan calon Perdana Menteri), mungkin Sanusi terkhilaf membaca kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu selain tidak mengikuti perbahasan serta resolusi yang dicapai dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.

"Bersatu sebagai parti mempunyai hak untuk mencadangkan Presiden kami selaku calon Perdana Menteri, namun ia masih tertakluk kepada perbincangan dan konsensus Majlis Tertinggi PN yang turut melibatkan Pas, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) dan Gerakan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas dilapor menegur Bersatu supaya tidak terlalu 'ghairah bersendirian' membuat keputusan politik penting atas nama PN, termasuk berkaitan calon Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.

Iklan

Dalam pada itu Dr Afif menegaskan, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada proses biasa dan belum menjadi keputusan rasmi PN.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu menjelaskan, tindakan Bersatu mencalonkan Muhyiddin bukan kerana ghairah sebaliknya respons rakyat yang semakin mendesak untuk mengetahui siapa calon terbaik menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya rasa ini bukan soal keghairahan Bersatu. Di luar sana, rakyat memang tertanya-tanya siapa yang boleh ganti Anwar. Mereka menolak Anwar dan Sanusi maklum perkara ini," ujarnya.

Mengulas lanjut Dr Afif turut menyebut bahawa Pas sebelum ini pernah menyatakan hasrat mencalonkan beberapa tokoh parti sebagai Perdana Menteri, antaranya Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Itu hak mereka dan kita hormati pandangan itu. Begitu juga dengan Bersatu.

"Kita cadangkan Muhyiddin kerana beliau pernah memimpin negara ketika krisis politik, ekonomi dan kesihatan. Proses ini adalah perkara biasa," jelasnya.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berakhir pada Ahad meluluskan usul menamakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu.