Mahkamah tetapkan 29 September dengar status representasi lelaki bunuh kekasih

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes bunuh, bakar teman wanita hamil dipindah ke Mahkamah Tinggi

KLANG - Mahkamah Tinggi menetapkan 29 September ini untuk mengetahui status representasi seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil di Sungai Besar dua tahun lepas.

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, membangkitkan isu berkaitan status representasi itu pada prosiding hari ini yang sepatutnya dijadualkan sebagai pengurusan kes terakhir.

Iklan
Iklan

Muhammad Nor berkata anak guamnya menerusi representasi itu memohon untuk menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah namun pihaknya masih belum menerima maklum balas mengenai perkara itu daripada Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli memohon tarikh baharu bagi tujuan penyemakan status representasi tersebut.

Iklan

Norliza pada prosiding hari ini turut meminta supaya tertuduh memikirkan keputusannya secara mendalam susulan pertuduhan ke atasnya adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman berat dan mahkamah tidak boleh menjamin keringanan hukuman berdasarkan permohonan tersebut.

"Seandainya mahkamah melihat fakta kes dan juga mendengar keterangan saksi-saksi dan seandainya mahkamah berpendapat hukuman sepatutnya hukuman gantung sampai mati adakah mahkamah boleh menerima pengakuan bersalah kamu?

Iklan

"Malah sebelum pindaan (hukuman gantung mandatori) mahkamah tak boleh terima pengakuan bersalah awak, kecuali dalam keadaan kalau pihak pendakwaan turunkan pertuduhan, itu cerita lain," katanya.

Sebelum ini, mahkamah sama menetapkan perbicaraan pada 23 Februari 2026 diikuti 27 Februari, 9 hingga 13 Mac dan 30 Mac hingga 3 April 2026.

Pada 15 Mei lepas, mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Fakrul Aiman yang didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, yang hamil dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Pada 1 Jun tahun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham berkaitan kehamilan di luar nikah dipercayai menjadi punca pelayan restoran itu dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau. - Bernama