GEORGE TOWN - Projek Lebuhraya Lingkaran Pantai Utara (NCPR) dijangka menjadi penyelesaian utama kepada masalah kesesakan jalan raya yang sekian lama membelenggu penduduk serta pelancong di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kesesakan semakin parah terutama ketika musim cuti panjang dan perayaan sehingga menjejaskan ekonomi setempat, kelancaran operasi kecemasan serta kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila berlaku kecemasan, agensi penyelamat seperti ambulans, bomba dan polis turut tersekat dalam kesesakan.
"Nyawa boleh terancam kerana jalan raya sedia ada tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
"Tambahan pula laluan ini sering terjejas dengan insiden pokok tumbang, tanah runtuh dan kemalangan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Zairil menjelaskan, projek NCPR sepanjang 10.61 kilometer itu merupakan sebahagian daripada projek tiga jalan utama dan terowong yang dianugerahkan pada 2013, melibatkan 8.41km laluan darat serta 2.2km jejambat pesisir laut.
Lebuhraya berkenaan akan menghubungkan Tanjong Bungah ke Teluk Bahang dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada 2026 dan siap menjelang 2031.
"Apabila siap kelak, masa perjalanan dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang dapat dipendekkan daripada 30 hingga 45 minit pada waktu puncak kepada hanya tujuh minit.
"Laluan akan bermula dari Jalan Tanjong Bungah, melalui pesisir pantai bersebelahan Masjid Terapung Tanjong Bungah, merentasi laut dan kembali ke laluan darat berhampiran Shamrock sebelum merentasi Batu Ferringhi dan berakhir di Teluk Bahang," katanya.
Beliau berkata, kontraktor dilantik, Consortium Zenith Construction (CZC) kini sedang memuktamadkan reka bentuk terperinci selain perlu membuat pindaan terhadap Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dijangka mengambil masa setahun setengah.
Pada masa sama, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan agensi teknikal sedang menyiapkan Perjanjian Tambahan serta Perjanjian Kos Pengambilan Tanah dengan CZC.
"Projek ini bernilai RM2.9 bilion termasuk RM500 juta untuk tujuan pengambilan tanah.
"Bagi tanah kerajaan, kerja boleh dimulakan sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, manakala bagi lot persendirian, proses mengambil masa enam hingga 12 bulan," tambahnya.
Menurut Zairil, projek itu bukan sekadar pembinaan jalan raya tetapi juga komitmen kerajaan negeri memastikan infrastruktur seiring pembangunan, sekali gus membuka peluang sosioekonomi baharu di kawasan pesisir utara.