Polis Pahang lupus dadah lebih RM500,000, libatkan 2,656 barang kes

Iklan
Yahaya (empat dari kanan) melihat salah satu daripada 2,656 barang kes yang selesai perbicaraan di mahkamah sejak tahun 2011 hingga 2025 untuk dilupuskan. Foto: Sinar Harian

KUANTAN – Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM519,158.78 melibatkan 2,656 barang kes yang telah selesai perbicaraan di mahkamah sejak tahun 2011 hingga 2025.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelupusan ini dilaksanakan pada jam 12 tengah hari, Selasa oleh kontraktor bertauliah dan profesional yang beralamat di Bestari Jaya, Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dadah pelbagai jenis itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding yang telah selesai dan tamat tempoh rayuan terhadap pesalah.

“Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 3,358.774 gram, methamphetamine (1,705.838 gram), ganja (727.225 gram), ketamin (71.12 gram), nimetazepam (72.555 gram), yaba (200.1 gram), ekstasi (171.9 gram), air ketum (2,908.617 liter) serta daun ketum (69,164.843 gram).

Iklan

“Seterusnya, dadah jenis codeine (0.421 liter), diphenhydramine (26.151 liter), etizolam (2.29 gram), bahan kimia (0.3 liter), pil psikotropik (4.80 gram) serta bahan lain seperti mannitol, buprenorphine, pinaca, bromazolam, clozapine dan etizolam (0.43 liter dan 36.27 gram),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di perkarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, di sini pada Isnin.

Iklan

Menyentuh mengenai prestasi JSJN Pahang, Yahaya berkata, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 9,365 tangkapan dilakukan membabitkan 8,252 kes.

Jelasnya, sebanyak 144 operasi berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh itu bagi melumpuhkan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.

Yahaya turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota JSJN Pahang yang terlibat, serta menyeru agar semua pihak terus berganding bahu dalam usaha menjadikan Malaysia bebas daripada ancaman dadah.

“Harapan saya agar anak-anak kita dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, sekali gus melahirkan generasi berdaya saing serta berjaya pada masa hadapan,” katanya.