Hukum wanita sertai flotila ke Palestin harus, tak salah - Pejabat Mufti WP

Iklan
Dari kiri; Ardell Aryana, Zizi Kirana, Iylia Balqis dan Lia Maryam yang menyertai misi Global Sumud Flotilla. Foto: Instagram @iyliabqs

SHAH ALAM - Hukum penyertaan kaum wanita dalam flotila misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla (GSF) ke Palestin adalah harus dan tidak salah.

Menerusi penerangan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada asasnya hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negaranya adalah tidak wajib.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurut penjelasan tersebut, terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan kaum Hawa pada zaman ini, contohnya membantu wanita lain dalam keadaan peperangan.

“Oleh itu, sumbangan dan peranan mereka dari pelbagai aspek lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan satu perkara yang dituntut serta terpuji.

Iklan

“Hal ini berdasarkan garis panduan dan segala syarat yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, hukum penyertaan wanita dalam misi ini adalah harus dan tidak salah untuk terlibat.

“Lebih-lebih lagi situasi rakyat Palestin cukup terdesak mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran,” menurut kenyataan tersebut dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Antara delegasi Malaysia yang kini berlayar dari pelabuhan Barcelona, menyertai misi Global Sumud Flotilla. Foto: Facebook Sumud Nusantara Official

Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah turut menyentuh hadis tentang peranan wanita yang terlibat dalam peperangan, di mana kaum Hawa memberi minum kepada pejuang dan merawat golongan tercedera, berbeza dengan peranan lelaki.

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa walaupun kaum wanita tidak terlibat mengangkat senjata dalam peperangan jihad, peranan mereka tidak kurang pentingnya iaitu memastikan kejayaan sesuatu misi jihad yang dilancarkan.

“Apatah lagi apabila melibatkan maslahah yang lebih besar, maka didahulukan maslahah umum berbanding maslahah khusus berdasarkan kaedah,” ujar kenyataan itu.

Kumpulan wanita yang menyertai misi tersebut terdiri daripada penyanyi Zizi Kirana; pelakon, Ardell Aryana dan aktivis kemanusiaan, Iylia Balqis serta Lia Maryam.