Anutin Charnvirakul PM baharu terajui Thailand

Iklan
Anutin (kanan) menyapa anggota Parlimen selepas mendapat sokongan Parti Rakyat di Bangkok.

BANGKOK - Anutin Charnvirakul bukanlah nama asing dalam landskap politik Thailand, tetapi detik pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu kini menjadikannya tumpuan dunia.

Dilahirkan pada 13 September 1956 di Buriram, beliau mewarisi darah ketokohan daripada keluarga perniagaan berpengaruh dan kaya-raya.

Iklan
Iklan

Keluarganya memiliki syarikat gergasi Sino-Thai Engineering and Construction, sekali gus membuka jalan untuk Anutin memahami selok-belok ekonomi sejak muda.

Bapanya, Chavarat Charnvirakul, pernah mengorak langkah dalam dunia politik, menjadikan Anutin akrab dengan pentas kuasa sejak di bangku sekolah.

Iklan

Zaman remajanya diwarnai oleh pendidikan di Bangkok sebelum beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk menimba ilmu.

Beliau sentiasa berkongsi hobi dan minatnya di media sosial.

Iklan

Di Hofstra University, New York, beliau meraih ijazah kejuruteraan yang akhirnya menjadi asas kepada pemikirannya yang teknokratik.

Pulang ke tanah air, Anutin mengabdikan dirinya dalam syarikat keluarga, menguruskan projek mega yang menjulang namanya dalam dunia korporat.

Di pentas perniagaan pula, beliau muncul sebagai tokoh yang dihormati, seorang ahli korporat yang arif mengemudi cabaran ekonomi Thailand.

Pembabitan politik

Namun, darah politik yang mengalir dalam dirinya tidak membiarkan beliau hanya berdiam diri di menara kaca korporat.

Pada 1996, Anutin melangkah ke Parlimen melalui Parti Chart Thai, membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.

Meskipun langkah awalnya tidak semudah yang disangka, politik Thailand yang penuh gelora menguji kesabarannya berkali-kali.

Anutin kemudian menemukan wadah perjuangan lebih serasi melalui Parti Bhumjaithai yang menjulang namanya sebagai tokoh konservatif penting.

Di bawah panji Bhumjaithai, beliau tampil dengan gaya kepimpinan yang pragmatik, sering dilihat mengimbangi antara tradisi dan pembaharuan.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio Menteri Kesihatan serta Menteri Dalam Negeri pernah digalas dengan penuh tanggungjawab.

Paling mencuri perhatian dunia ialah keberaniannya menghalalkan kanabis pada 2022, suatu langkah yang memecah tabu dan membentuk wajah baharu Thailand.

Beliau bertemu sukarelawan di perkampungan daerah Mueang di wilayah Narathiwat ketika memegang jawatan Menteri Kesihatan Awam pada 2022.

Walaupun dikritik, dasar itu menjadikan Anutin dilihat sebagai pemimpin berani yang mengambil risiko demi masa depan.

Pada September 2025, beliau dipilih secara majoriti oleh Parlimen menggantikan Paetongtarn Shinawatra selepas badai politik menggoncang kerajaan.

Berbekalkan pengalaman, warisan keluarga dan tekad peribadi, Anutin berdepan cabaran getir untuk mengekalkan kestabilan dan memimpin Thailand menuju pilihan raya baharu seperti dituntut banyak pihak. - Agensi