JAKARTA – Penghapusan elaun rumah anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia yang menjadikan gaji bersih mereka kira-kira 65 juta rupiah (RM16,766) menerima pelbagai respons daripada penduduk.
DRP dilaporkan bersetuju untuk akur dengan empat daripada 17+8 tuntutan rakyat (jangka pendek dan jangka panjang) yang dikemukakan sehingga Jumaat lalu.
Namun, keputusan itu didakwa gagal mencapai jangkaan dan harapan orang ramai serta tidak menangani isu teras yang disuarakan selama ini.
Penduduk Depok, Dedi, 41, berpendapat ia masih terlalu tinggi berbanding purata pendapatan yang diterima rakyat biasa dan penghapusan elaun rumah hanyalah langkah simbolik untuk meredakan kemarahan demonstran.
"Selagi 17+8 tuntutan itu belum dipenuhi, ia tidak membawa sebarang makna dan tiada perubahan," ujarnya.
Penduduk Bekasi, Nur Aisyah, 29, juga senada dengan Dedi yang menganggap ia hanyalah langkah kecil dibuat pemerintah dan kepercayaan rakyat tidak akan pulih selagi tuntutan lain tidak ditunaikan.
Sementara itu, Laras, 42, dari Semarang melihat gaji ahli DRP tidak seimbang dengan kondisi rakyat yang kebanyakannya masih hidup di bawah standard minimum.
"Saya berharap ia dapat dinilai semula dan diturunkan lagi untuk menyokong rakyat," menurutnya. - Agensi