GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati tiada bukti kukuh dua beradik lelaki yang tular di media sosial dipaksa oleh bapa kandung mereka untuk membuat kandungan bagi tujuan keuntungan peribadi.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, hasil siasatan awal mendapati penglibatan Muhammad Wael Mohamad Fakhrullah, 5, dan adiknya Muhammad Gibran Mohamad Fakhrullah berusia setahun dalam pelbagai kandungan yang dimuat naik ke platform TikTok dilakukan secara santai tanpa sebarang unsur paksaan.
Bagaimanapun katanya, JKM menasihatkan bapa kandung kanak-kanak berkenaan, Mohamad Fakhrullah Shahran, 33, atau dikenali sebagai Abang Chaqg agar lebih berhati-hati dan mengutamakan kepentingan terbaik anak-anak dalam setiap penglibatan mereka di media sosial.
"Kes berkenaan mula tercetus selepas JKM menerima aduan melalui Talian Kasih pada 2 September lalu, jam 9.30 pagi mengenai dakwaan eksploitasi dua beradik itu di media sosial.
"Aduan tersebut menyatakan bahawa kanak-kanak berkenaan dipaksa untuk menghasilkan kandungan demi meraih ‘gift’ atau sumbangan daripada penonton selain terbabit dalam aktiviti 'paid review' dan sesi 'meet and greet' tanpa persetujuan ibu kandung mereka.
"Namun, hasil siasatan mendapati tiada bukti kukuh mengenai dakwaan itu dan JKM akan memantau dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, ketika hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya minggu lalu, Mohamad Fakhrullah menafikan dakwaan bahawa anak-anaknya dieksploitasi secara berlebihan.
"Menurutnya, penglibatan Muhammad Wael dan Muhammad Gibran dalam kandungan media sosial hanya aktiviti santai bersama keluarga, tanpa sebarang unsur paksaan.
"Dia juga menjelaskan, aktiviti 'paid review' dan 'meet and greet' yang dijalankan sekadar memenuhi jemputan pihak tertentu, selain dijadikan peluang membawa anak-anak berjalan dan meluangkan masa bersama," ujarnya.
Tambah beliau, walaupun tiada bukti jelas wujudnya eksploitasi, JKM tetap memberikan khidmat nasihat kepada bapa kandung kanak-kanak tersebut.
"JKM menasihatkan agar memastikan penglibatan anak-anak dalam kandungan media sosial dibuat secara sukarela dan sesuai dengan umur serta perkembangan mereka selain menghadkan kekerapan serta tempoh penggambaran supaya tidak menjejaskan waktu rehat, pendidikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak.
"Selain itu, JKM juga menasihatkan agar mengelakkan pendedahan berlebihan mengenai kehidupan peribadi kanak-kanak di media sosial atau ruang awam serta sentiasa mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)," katanya.
Siew Khim berkata, JKM akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan hak serta kepentingan kanak-kanak terbabit terpelihara.
"Kerajaan negeri memandang serius aduan membabitkan eksploitasi kanak-kanak di media sosial kerana ia melibatkan aspek keselamatan serta kesejahteraan emosi mereka.
“Walaupun siasatan awal mendapati tiada bukti kukuh wujudnya paksaan, kita tetap perlu memberi perhatian terhadap trend ini kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada tumbesaran dan masa depan kanak-kanak.
"Ibu bapa perlu sentiasa peka dan memastikan kandungan media sosial yang melibatkan anak-anak tidak bertentangan dengan kepentingan terbaik mereka,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui JKM akan terus memantau perkembangan kes itu dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur pengabaian atau eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Terdahulu, Mohamad Fakhrullah menyatakan kekesalannya terhadap isu tular membabitkan dirinya yang dipanggil memberi keterangan di Pejabat JKM Daerah Barat Daya pada tengah hari, 2 September lalu.
Pemilik sebuah restoran itu memberi reaksinya di akaun TikToknya dengan berkata"Kalau benci atau tak suka saya sekalipun, jangan sampai buat dakwaan tak berasas.
"Jangan campur aduk hal peribadi dan perniagaan, menghasut dan mengapi-apikan orang lain untuk turut sama benci saya," katanya.