BATU PAHAT – Tujuh lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam cubaan menyeleweng minyak sawit mentah di Jalan Muar, Kampung Parit Awang, Yong Peng di sini pada Khamis.
Tangkapan yang dibuat pada jam 2.45 petang itu membabitkan sepasukan anggota Cawangan Risik dan Kompeni ‘C’ Batalion 6 PGA Muar dengan kerjasama Batalion 5 PGA Simpang Renggam serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Shohaiami Ismail berkata, selain menahan tujuh lelaki berkenaan pihaknya turut merampas lima lori tanker yang digunakan bagi memindahkan minyak sawit secara haram.
"Selain itu turut dirampas kira-kira 222,700 kilogram minyak sawit mentah selain lima lori tanker, pam penyedut minyak, genset, tangki IBC serta pelbagai peralatan lain.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.6 juta dan kes diserahkan kepada MPOB Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Shohaiami berkata, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Briged Tengah PGA, dalam membanteras kegiatan penyelewengan komoditi negara.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan ketelusan dalam rantaian industri minyak sawit negara sentiasa terpelihara.
“Kita menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak polis,” katanya.