BAGAN DATUK - Malaysia bersedia menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda negara tersebut baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk memobilisasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke lokasi bencana.
Menurut beliau, Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diminta menyertai misi berkenaan selepas perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pertahanan.
“Selain itu, kita juga akan menyelaras penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terutamanya kumpulan sukarelawan yang berpengalaman dalam misi bantuan banjir dan malapetaka alam yang lain.
“Insya-ALLAH, esok kita akan menghubungi Duta Afghanistan di Kuala Lumpur untuk membincangkan perincian penghantaran pasukan ini bagi membantu mereka yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE) Kemas dan Bakti Madani UiTM di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Untuk rekod, pada 31 Ogos lalu, gempa bumi berukuran 6.0 magnitud telah melanda wilayah timur Afghanistan, khususnya di Kunar, Nangarhar, Laghman dan kawasan sekitarnya.
Beberapa gempa susulan dan gegaran selepas gempa utama turut dilaporkan dalam beberapa hari berikutnya, memburukkan lagi keadaan.
Setakat ini, jumlah korban mencecah lebih 2,200 orang, manakala ribuan lagi dilaporkan cedera dan lebih 6,700 rumah musnah sepenuhnya akibat bencana tersebut.