SANGLANG - Jasad penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, akhirnya ditemui pada hari kedua mangsa dilaporkan hilang selepas mesin padi dinaiki bersama tiga rakan terjatuh ke dalam sungai Kampung Sanglang pada Sabtu.
Mangsa dijumpai pada jam 10.01 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi awal kejadian, pada kedalaman empat meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang melakukan selaman di dasar sungai.
Ketua BBP Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, operasi hari kedua itu bermula jam 8.30 pagi dengan pencarian dijalankan dalam radius 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi membabitkan 41 anggota termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan empat bot penyelamat.
“Mayat mangsa telah dibuat pengecaman oleh waris di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Noor Azhar memaklumkan, jasad mangsa berjaya dikesan selepas mesin padi yang terjatuh ke sungai berjaya diangkat menggunakan kren pada jam 11 malam Sabtu.
“Kita memperluaskan pencarian mangsa pada Ahad sejak mangsa dilaporkan hilang semalam (Sabtu).
“Operasi Pusat Kawalan Bomba (PKB) Sanglang ditutup sepenuhnya pada jam 10.53 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa pada Ahad.
Menurutnya, laporan berkaitan kes kes diterima jam 3.45 petang pada Sabtu selepas sebuah jentera mesin padi terjatuh ke dalam sungai berhadapan SMK Sanglang, Air Hitam.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu jentera mesin padi bersama tiga rakannya selesai menuai padi.
“Difahamkan, semasa menaikkan jentera itu, pemandu telah terlajak dan menjunam masuk ke dalam sungai. Mangsa lain berjaya berenang ke tepi namun mangsa yang maut dilihat terkapai-kapai sebelum hilang di bawa arus,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas manakala tiga rakannya selamat selepas mesin padi yang dinaiki mereka terjatuh ke sungai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.