SHAH ALAM - Kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal utuh meskipun berlaku insiden kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 pada malam Sabtu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, kejadian tersebut hanya melibatkan sebilangan kecil individu yang bertindak di luar batas dan terpengaruh dengan agenda pihak luar.
“Seperti yang dapat dilihat dalam video, hanya sebahagian kecil yang terlibat daripada hampir 2,700 perwakilan dalam dewan.
“Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak terancam oleh tindakan individu yang tidak berlandaskan perlembagaan parti, tidak diiktiraf secara sah melalui Akuan Bersumpah (SD) serta berasaskan fakta yang tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa PAT Bersatu 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak semasa Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar.
Kekecohan itu berlaku di bahagian tengah dewan dan dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati dengan beberapa isu dalaman.
Keadaan tersebut memaksa pasukan keselamatan parti campur tangan dengan segera bagi menenangkan suasana.
Walaupun insiden berkenaan hanya berlangsung beberapa minit, ia sempat mengganggu perjalanan ucapan dasar Presiden yang ketika itu sedang menekankan isu perpaduan dalaman serta hala tuju Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, situasi berkenaan telah dikendalikan dengan baik dan semua pihak kini kembali memberi tumpuan kepada agenda parti.
“Hanya sebilangan kecil perwakilan berasa ‘teruja’.
“Mereka yang terlibat telah memohon maaf dan kita semua akan fokus semula kepada perkara yang sedang dihadapi. Alhamdulillah,” katanya.