IPOH - Masyarakat diingatkan agar tidak mensia-siakan usaha kerajaan membangunkan Taman Rekreasi Madani (TRM) dengan perbuatan vandalisme yang akhirnya merugikan semua pihak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya ada menerima laporan kerosakan membabitkan kemudahan yang dibangunkan di taman tersebut, namun tidak serius.
"Walaupun tidak serius, saya menaruh harapan tinggi menuju ke arah sifar vandalisme.
"Negara sudah Merdeka 68 tahun, tak kan masih tidak tahu macam mana nak menjaga kemudahan awam yang dibina untuk kebaikan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani di sini pada Sabtu.
Keempat-empat Taman Rekreasi Madani berkenaan iaitu di Taman Pusing Baru, Taman Kledang, Taman Pengkalan Barat dan Taman Westpool berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan siap sepenuhnya Julai lalu.
Beliau berkata, sebanyak 216 TRM di seluruh negara dijangka siap menjelang akhir tahun ini dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merealisasikan agenda pembangunan 1,000 TRM menjelang 2035.
Katanya, daripada jumlah itu, 12 TRM telah berjaya siap dibangunkan di Ipoh dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta yang disalurkan kerajaan pada tahun lalu.
"Tahun pertama pelaksanaan, kita berjaya menyiapkan 109 Taman Rekreasi Madani yang mana ia berjaya melepasi sasaran 100.
"Menerusi jumlah itu, ia bakal menjadikan 216 taman dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
"Taman rekreasi ini bukan sekadar ruang riadah, malah berfungsi sebagai terapi minda dan jiwa, tempat masyarakat berehat selepas penat bekerja," katanya.