Presiden Cuepacs terima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia, iktiraf perjuangan penjawat awam

Iklan
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia kepada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat (tiga, kanan) pada Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2025 pada Sabtu. Foto Bernama

KEPALA BATAS - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia dalam Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, hari ini.

Adnan berkata, anugerah itu bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap dirinya, malah bagi semua pekerja sektor awam.

Iklan
Iklan

"Anugerah ini sangat bermakna sepanjang penglibatan saya memimpin Cuepacs. Ia sebenarnya untuk semua pekerja, termasuk di sektor awam.

"Tahniah juga kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dan KESUMA kerana menganjurkan perhimpunan terbesar dalam sejarah ini, yang buat pertama kalinya menggabungkan pekerja sektor kerajaan dan swasta bagi memajukan negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini pada Sabtu.

Iklan

Steven Sim menyampaikan anugerah itu pada majlis yang disertai lebih 3,000 pekerja sektor awam dan swasta serta dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor, dan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie Mammal.

Perhimpunan itu turut menyaksikan penganugerahan lima Anugerah Kesatuan Sekerja Tahun 2025 sebagai penghargaan kepada tokoh serta kesatuan yang menyumbang dalam memperjuangkan kepentingan pekerja di Malaysia.

Iklan

Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja dianugerahkan kepada Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang manakala Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (Sektor Awam) kepada Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak (KESOJA).

Kesatuan Pekerja-Pekerja Air Kelantan Sdn Bhd pula menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (Sektor Swasta) dan Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh Sektor Badan Berkanun diberikan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Sokongan Lembaga Hasil Dalam Negeri Semenanjung Malaysia (KEJASA).

Adnan menerima wang tunai RM7,000, sijil dan trofi, manakala Aminuddin menerima RM6,000, sijil dan trofi. Tiga penerima lain masing-masing menerima RM3,000, sijil dan trofi.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, sebelum ini, MTUC menumpukan perjuangan untuk gaji minimum dan kini turut memperjuangkan pensijilan pendidikan untuk pekerja bawahan.

Beliau berkata, KESUMA mempunyai beberapa institusi pensijilan dan MTUC akan terus bekerjasama memastikan lebih ramai pekerja mengikuti kursus bagi meningkatkan pendidikan dan kemahiran.

"Saya juga berterima kasih kepada Steven Sim kerana menyediakan peruntukan RM100,000 kepada MTUC. Walaupun saya segan meminta jumlah tertentu, peruntukan itu diterima dan akan digunakan untuk pendidikan ahli MTUC,” katanya.

Mohamed Shafie pula mengucapkan terima kasih kepada Steven Sim dan KESUMA kerana menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pekerja, termasuk sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan baru-baru ini.

Katanya, UNI-MLC akan terus menyokong semua aktiviti dan cadangan undang-undang baharu bagi kebaikan pekerja. Beliau memuji prestasi Steven Sim dalam memimpin KESUMA selama 21 bulan serta inisiatif kolaborasi dengan kesatuan sekerja bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pekerja.

Terdahulu, Steven Sim mengumumkan bantuan kewangan RM100,000 kepada MTUC untuk tahun ini. - Bernama