GERIK - Kegiatan pemburuan haram hidupan liar di Royal Belum mencatatkan penurunan ketara iaitu sebanyak 90 peratus dalam tempoh lapan tahun terakhir, berdasarkan dapatan WWF-Malaysia.
Ahli biologi dan pemerhati hidupan liar WWF-Malaysia, Afif Wafiy berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan Projek Stampede, iaitu inisiatif membanteras aktiviti pemburuan haram yang digerakkan oleh 150 renjer Orang Asli, masing-masing 75 orang di Royal Belum dan Temengor.
Menurut beliau, selepas projek tersebut diperkenalkan pada 2018, lebih 200 jerat hidupan liar khususnya bagi menjerat Harimau Malaya berjaya dijumpai dan dirampas dalam tempoh satu hari sahaja pada tahun berkenaan di sekitar Royal Belum.
Jelasnya, jerat berkenaan dipercayai milik pemburu haram warga asing, terutamanya dari Thailand, Vietnam dan Myanmar.
“Pada 2018 lalu, dalam masa satu hari sahaja renjer Orang Asli jumpa lebih 200 jerat dan ambil masa tiga hari untuk bawa keluar dari hutan.
“Kami fikir usaha pemuliharaan Harimau Malaya sahaja dah cukup selama ini kerana dahulu hanya ada 30 renjer, rupanya masih banyak pemburu haram sekitar Royal Belum.
“Untuk 2025, setakat ini tiada lagi kes pemburu haram aktif di Royal Belum. Pada 2023, WWF-Malaysia berjaya capai ‘zero active snare’ dan boleh dikatakan sejak pengenalan Stampede sehingga sekarang, angka menurun kepada 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian bersama pengamal media yang mengikuti ekspedisi tiga hari dua malam ke Taman Negeri Royal Belum anjuran WWF-Malaysia dan Maybank.
Wakil media yang menyertai ekspedisi tersebut ialah dua wartawan Sinar Harian, tiga dari Astro Awani serta seorang masing-masing dari The Star dan Sin Chew Daily.
Ekspedisi itu bertujuan memberi gambaran tentang usaha WWF-Malaysia membangunkan pelan konservasi Harimau Malaya, membanteras aktiviti pemburuan haram, berinteraksi bersama penduduk kampung dan renjer Orang Asli serta memelihara kelestarian hidupan liar di landskap Belum-Temengor menerusi kerjasama dengan Maybank.
Pasukan WWF-Malaysia turut menunjukkan demonstrasi kaedah jerat yang digunakan pemburu haram warga asing.
Afif berkata, pihaknya dapat mengesan latar belakang pemburu haram hanya berdasarkan jenis jerat yang digunakan serta barangan peribadi yang ditinggalkan di hutan.
Katanya, setiap jerat berbeza dari segi saiz dan berat, bergantung kepada sasaran sama ada harimau atau mamalia besar seperti gajah dan seladang.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan warga tempatan dalam membawa masuk pemburu haram ke Belum-Temengor.
Mengulas mengenai kelayakan renjer hutan, Afif menjelaskan komuniti Orang Asli paling sesuai kerana mereka arif dengan selok-belok kawasan berbanding orang luar.
“Menerusi dana daripada Maybank, kami latih bagaimana Orang Asli mahu menjadi renjer. Kami ajar kemahiran menggunakan sistem kedudukan global (GPS) dan perangkap kamera, mereka pula gabungkan skil cara hidup di hutan.
“Daripada ‘zero to hero’, mereka mampu mengendalikan banyak hal termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa, khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Taman Negeri Royal Belum.
“Ia secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan kepada mereka sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk Orang Asli, dan dalam masa sama memastikan ekosistem hidupan liar di Belum-Temengor terpelihara,” ujarnya.