KOTA BHARU - Jabatan Peguam Negara akan memantau dan meneliti kandungan di media sosial termasuk siaran langsung yang mempertikai prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tindakan itu bagi memastikan sama ada kandungan yang tular berhubung inkues tersebut boleh menjurus kepada kesalahan menghina mahkamah atau mengganggu kelancaran prosiding.
Iklan
Iklan
“Kita akan kaji dahulu semua kandungan yang tersebar di media sosial.
“Saya tidak mahu komen secara terburu-buru dan akan teliti perkara ini terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam, Program Kampung Angkat Madani, Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di sini pada Sabtu.
Beliau menegaskan sebarang tindakan hanya akan dibuat selepas penelitian mendalam kerana prinsip utama Jabatan Peguam Negara ialah memastikan prosiding mahkamah tidak terjejas.
Sebelum ini, media melaporkan prosiding inkues Zara Qairina bagi menentukan punca kematian pelajar terbabit telah bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah, pada 3 September.
Inkues selama 19 hari itu dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September, dan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.