Mindef kaji keperluan beli jet pejuang terpakai dari Kuwait - Mohamd Khaled

Iklan
Mohamed Khaled (depan, lima dari kiri) ketika Program Penyampaian Zakat Wakalah di Dewan Terbuka Taman Air Biru di Pasir Gudang pada Sabtu.

PASIR GUDANG – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menghantar satu kumpulan bagi menilai keperluan membeli jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut membolehkan Mindef mengkaji semula rancangan pembelian yang masih belum dimuktamadkan sehingga menyebabkan penghantarannya tertangguh.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, kerajaan Kuwait masih menunggu tarikh penyerahan jet pejuang baharu dari Amerika Syarikat (AS), namun perkembangan terkini memaklumkan bahawa proses itu tertangguh kerana tarikhnya belum ditetapkan.

“Saya difahamkan jet pejuang yang sepatutnya diterima oleh Kuwait dari AS telah ditangguhkan lagi. Tentunya kita tidak boleh terus menunggu tanpa kepastian mengenai bila jet itu boleh diserahkan kepada kita, kerana Kuwait hanya boleh menyerahkan jet pejuang mereka setelah menerima pesawat baharu.

Iklan

“Hingga ke hari ini, AS masih belum memberi ketetapan. Sekarang kita berdepan isu kerana tidak tahu berapa lama lagi perlu menunggu. Jadi kita perlu ada pilihan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Penyampaian Zakat Wakalah di Dewan Terbuka Taman Air Biru, di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada 26 Ogos lalu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan muktamad berhubung rancangan pembelian jet F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.

Malah, beliau turut menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, dan menegaskan bahawa semua pertimbangan masih dalam proses penilaian ketika ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI), yang dijadual diterima pada tahun 2027, dijangka mampu menampung keperluan pengoperasian TUDM.

“Selain itu, kita juga akan menilai kemampuan jet pejuang Sukhoi yang dimiliki ketika ini, sama ada mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.

"Kajian terperinci perlu dibuat kerana bermula 2027, semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208, akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa. 

"Lagi pun pesawat Hawk yang dibeli pada 1994 telah berusia lebih 30 tahun," katanya.