SFV cipta dua rekod MBOR, Ladang Buah Tropika dan Pusat Agropelancongan terbesar negara

Iklan
Amirudin (tiga dari kanan) dan Izham (tiga dari kiri) ditemui selepas majlis pelepasan peserta Ehsan SFV Fun Run 2025.

BESTARI JAYA - Selangor Fruit Valley (SFV) yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus mencatat kejayaan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Ladang Buah-buahan Tropika Terbesar (515.03 hektar) dan Pusat Agropelancongan Terbesar (946 hektar) di negara ini.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu turut diserikan dengan pelepasan peserta Ehsan SFV Fun Run 2025 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di SFV di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menteri Besar menyempurnakan majlis pelepasan peserta Ehsan SFV Fun Run 2025.

Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti kejayaan PKPS dalam memposisikan SFV sebagai destinasi agro bersepadu yang menggabungkan pelancongan, rekreasi serta penyelidikan pertanian moden.

Iklan

“Alhamdulillah, kini SFV menerima purata sekitar 30,000 pengunjung setiap bulan, walaupun bukan musim cuti sekolah. Dari sudut kewangan juga, Fruits Valley yang sebelum ini pernah mengalami kerugian semasa pandemik, kini kembali mendatangkan hasil yang baik sehingga membolehkan pelbagai kemudahan ditambah baik.

“Dengan penyelenggaraan rapi, kawasan dusun yang ada mampu memberi pulangan. Malah dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi, tanaman durian di sini bakal mula berbuah dan menjadi tarikan baharu,” ujarnya.

Iklan

Turut hadir pada majlis itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Mengulas lanjut, Amirudin turut menegaskan, SFV bukan sahaja berfungsi sebagai pusat agropelancongan, tetapi sebahagian daripada usaha Selangor memperkukuh jaminan makanan negeri.

“Kita turut menanam jagung bijirin, bawang serta tanaman lain yang menyokong kelestarian makanan. Walaupun bermula sebagai Fruit Valley, ia berkembang menjadi lembah pertanian yang menyediakan hasil makanan penting kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, lambang kejayaan Agro Selangor itu dibangunkan pada 2024, SFV kini beroperasi di kawasan seluas lebih 1,000 hektar, dengan lebih 30 jenis tanaman buah-buahan tropika seperti durian, nangka, rambutan, nanas, jambu, belimbing dan kelapa.

Selain dusun, SFV menawarkan pelbagai tarikan agropelancongan termasuk mini zoo, taman arnab, ladang rusa, tram ride, aktiviti berbasikal serta aktiviti air.

Di dalam kawasan sama turut menempatkan Pusat Kecemerlangan Pertanian (ACE) PKPS yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan komersial, antaranya menghasilkan benih klon pisang berkualiti melalui fasiliti Kultur Tisu Tumbuhan sejak 2017.

Kini ACE memperluas kepakaran dengan penerapan Biologi Molekul serta Kejuruteraan Genetik bagi menghasilkan varieti tanaman lebih efisien, selain membangunkan kemudahan analisis tanah dan baja dalaman demi menyokong pertanian mampan.

SFV sebelum ini mencatatkan lebih 200,000 pengunjung setahun, sekali gus menjadi salah satu destinasi agropelancongan paling popular di Malaysia.

Ia juga menjadi rujukan utama pelajar, penyelidik, agensi kerajaan dan swasta dalam bidang pertanian moden dan agropelancongan.