BANDARAYA GAZA - Hamas telah menyiarkan rakaman video menunjukkan dua tebusan warga Israel, Guy Gilboa-Dalal dan Alon Ohel, yang diculik semasa serangan ke atas selatan Israel pada Oktober 2023.
Video bertarikh 28 Ogos itu menunjukkan kedua-dua lelaki masih hidup dan dipercayai berada di Bandaraya Gaza, lokasi serangan besar-besaran oleh tentera Israel.
Dalam rakaman tersebut, Gilboa-Dalal kelihatan letih dan bercakap dari tempat duduk belakang sebuah kereta, sambil mengenal pasti bangunan sekitar termasuk yang didakwa milik Palang Merah.
Beliau menyuarakan kebimbangan akan terbunuh akibat pengeboman Israel.
Ohel turut muncul sebentar dalam video - penampilan awam pertama sejak diculik.
Video ini disiarkan ketika Israel memperhebat operasi ketenteraan untuk menguasai Bandaraya Gaza, yang dianggap kubu terakhir Hamas.
Tentera Israel mendakwa telah menguasai sekitar 40 peratus bandar itu dan 75 peratus keseluruhan Gaza.
Pada Jumaat, sebuah bangunan tinggi di barat Bandaraya Gaza dibom atas dakwaan digunakan Hamas, namun pengurusan bangunan menafikan, menyatakan ia menempatkan pelarian.
Tekanan domestik di Israel semakin meningkat, dengan keluarga tebusan dan pemimpin pembangkang mendesak rundingan baharu. Ketua pembangkang Yair Lapid menyeru agar rundingan disambung, manakala pihak pelampau kanan menggesa pendudukan penuh Gaza.
Setakat ini, Israel menganggarkan 48 tebusan masih ditahan di Gaza, dengan hanya 20 dipercayai masih hidup.
Nasib Gilboa-Dalal dan Ohel terus menjadi perhatian antarabangsa, terutama selepas rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan gagal pada Julai lalu. - Awani